Pekerja Bottol Garage menonton siaran langsung perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Hari Belia Negara 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menawarkan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi bermula Jun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan melibatkan kos sebanyak RM450 juta.

“Seramai kira-kira 350,000 mahasiswa akan mendapat manfaat serta memudahkan mereka mengikuti aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan sebagainya.

“Pada masa sama, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dengan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan bagi membolehkan belia menjayakan agenda pemulihan melalui alam pekerjaan,” katanya dalam perutusan Hari Belia Negara 2022 hari ini.

Ismail Sabri berkata, dengan tema ‘Ini Masa Kita’, belia di negara ini perlu memanfaatkan setiap peluang yang diberikan.

Jelas beliau,gi, kerajaan juga memandang serius terhadap belia yang cenderung ke arah keusahawanan.

“Kerajaan telah menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank. Tidak hanya itu, kerajaan menyedari bahawa ramai anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota berdepan dengan isu perumahan.

“Justeru kerajaan akan memastikan mereka mampu memiliki kediaman sendiri selari dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, termasuk memperkasakan kediaman berkonsepkan transit atau Transit Oriented Developement (TOD),” katanya.

Ismail Sabri berkata, semua inisiatif yang disediakan ini berupaya membantu golongan belia yang terkesan akibat pendemik Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Terdahulu, dalam ucapan tesebut, Ismail Sabri turut berkata, melalui Bajet 2022, kira-kira RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi manfaat golongan belia termasuk Program ePemula kepada dua juta belia yang berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia 4 (SKM4) dan ke atas di institut pengajian tinggi awam dan swasta.

“Program ini merupakan sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai yang bertujuan meringankan beban kewangan belia dan memupuk budaya transaksi tanpa tunai di kalangan belia.

“Alhamdulillah, inisiatif yang melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta ini telahpun dilaksanakan dan dinikmati warga belia,” katanya. – MalaysiaGaztte