KAMPAR – Polis akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menghalang sebuah ambulans di Kilometer 292 Lebuh Raya Utara – Selatan arah utara, seperti tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu dan pemilik kenderaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah pada 5 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki berusia 62 tahun mengalami masalah pendengaran iaitu tinnitus – acoustic neuroma sejak tiga tahun lepas.

“Lelaki berkenaan masih lagi mendapat rawatan lanjut daripada pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tular di media sosial mengenai tindakan pemandu SUV jenis Honda CRV yang memandu di lorong kanan sehingga menghalang ambulans di belakangnya yang turut membunyikan siren dan hon sekali gus pemandu ambulans itu terpaksa memotong melalui laluan kiri.

Insiden itu turut menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi video di akaun Twitternya dan menyifatkan tindakan pemandu berkenaan sebagai mementingkan diri. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast