PKR Flag Anwar Ibrahim Prime Minister
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi pemilihan PKR boleh membatalkan mana-mana keputusan pengundian sekiranya disebabkan oleh kelemahan sistem aplikasi ADIL.

Menurut pengerusinya, Dr. Zaliha Mustafa, proses pengundian semula turut boleh diadakan bagi mana-mana cabang atau jawatan tertinggi parti sekiranya berlaku masalah di tempat-tempat pengundian.

“Jika keperluan tersebut berlaku maka parti, pimpinan dan akar umbi harus menerima baik sebarang kemungkinan atas keputusan yang bakal diambil Jawatankuasa Pemilihan Parti 2022, demi kebaikan dan ketelusan perjalanan Pemilihan 2022.

“Langkah keselamatan dan ciri-ciri sekuriti yang sedia ada dalam pengunaan aplikasi ADIL, berserta dengan sistem dan proses pengundian yang dikawal rapi, ditambah lagi dengan pengenalan penggunaan dakwat calit undi memastikan pemilihan parti berjalan dengan telus, saksama dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mempersoalkan kelemahan aplikasi ADIL.

Shamsul yang juga calon Naib Presiden berkata, aplikasi itu mampu untuk disalahgunakan dalam proses pengundian bagi pengundi yang tidak berdaftar pada pemilihan kali ini.

Malah beliau turut mendakwa dirinya telah mengenal pasti kejadian di mana pengundi lelaki berusia 70-an memaklumkan namanya didaftarkan di dalam aplikasi ADIL ketika datang mengundi hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Zaliha berkata, sistem itu adalah pelaburan besar jangka panjang parti yang diharapkan dapat memberikan impak kepada parti itu khususnya soal pengurusan sistem keanggotaaan yang lebih sistematik.

Justeru itu, pihaknya mengambil serius atas dakwaan dan aduan yang dikemukakan beberapa pihak antaranya calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.

“Kami juga faham tentang risiko penipuan yang menjadi kekhuatiran saudara Rafizi yang juga sejujurnya menjadi kekhuatiran pasukan jawatankuasa dan saya selaku Pengerusi JPP 2022 ini.

“Sebagai sebuah organisasi yang ada hiaraki serta badan penentu dasar tertinggi iaitu Majlis Pimpinan Pusat, serta Biro Politik Parti, keputusan untuk meneruskan pemilihan parti bagi tahun 2022 ini adalah keputusan yang dicapai secara muafakat dan dimuktamadkan di dalam mesyuarat MPP,” jawabnya.

Dalam pada itu, JPP turut mengambil keputusan untuk tidak menggunakan QR code pada kali ini.

Jelas Zaliha, langkah itu bagi menghapuskan risiko penipuan di mana ianya boleh dicetak berkali-kali, sekaligus menutup ruang untuk mana-mana anggota melakukan pengundian berganda secara berulangkali kali.

“Demi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, maka untuk Pemilihan 2022, JPP mewajibkan penggunaan dakwat calit undi, serta memperkenalkan sistem pemantauan ketat, yang mana hanya pengawas yang bertugas,mempunyai akses kepada kod kata laluan yang berbeza-beza, bagi membuka kertas undi digital tersebut di peranti Pengundian yang disediakan,” jelasnya.

Untuk rekod, pemilihan PKR membuka tirainya pada 14 Mei lalu yang menyaksikan persaingan sengit 11,282 calon bagi merebut pelbagai jawatan termasuk jawatan tertinggi parti. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Undi guna aplikasi ADIL ada kelemahan – Shamsul

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast