Shamsul Iskandar

MELAKA – Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mempersoalkan kelemahan aplikasi ADIL yang didakwa mampu disalahgunakan untuk proses  pengundi tidak berdaftar pada Pemilihan PKR 2022.

Calon Naib Presiden PKR itu mendakwa, ia susulan beliau sendiri telah mengenal pasti kejadian pengundi lelaki berusia 70-an yang memaklumkan namanya didaftarkan di dalam aplikasi ADIL ketika datang mengundi hari ini.

“Tadi kita kenal pasti pengundi lelaki umur 70-an yang dia sendiri pakai telefon lama tiada internet tapi bila nak undi fizikal, dalam sistem (ADIL) dia adalah pendaftar atas talian.

“Bila kita call nombor dalam daftar itu, ia milik seorang anak muda yang tiada kaitan langsung dengan warga emas itu dan saya lihat ini adalah antara kelemahan aplikasi yang hari diberi perhatian walaupun ia mungkin kes terpencil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau Pusat Pengundian Cabang Hang Tuah Jaya di Datatan Mat Riau, Bukit Baru di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga calon Ketua Cabang Hang Tuah Jaya berkata, kelemahan lain aplikasi ADIL itu yang baru diperkenalkan 28 Februari lalu turut perlu diberi perhatian Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) adalah kebarangkalian sistem itu digodam.

“Ada kelemahan kemungkinan sistem itu boleh digodam yang dikhuatiri ianya boleh mengganggu proses pengundian dan ini adalah suatu isu yang JPP perlu ambil perhatian.

“Contohnya, jika pengundi itu undi saya, tiba-tiba diubah tekan calon lain jadi ini boleh berlaku,” katanya.

Proses pengundian fizikal di Melaka hari ini menyaksikan kira-kira 27,000 ahli layak untuk keluar mengundi bermula pukul 9.30 pagi tadi sehingga 5.30 petang ini.

Ia melibatkan kesemua enam cabang iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Jasin.

Manakala pemilihan secara atas talian bermula 18 hingga 20 Mei ini bakal menyaksikan kira-kira 3,000 ahli membuat undian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast