Nurul Ashikin Hussin (bertudung hitam) merupakan mahasiswa daripada Fakulti Pengurusan Industri mewakili negara dalam temasya Sukan SEA Hanoi dalam acara olahraga jalan kaki 20 km kategori wanita

KUANTAN – Atlet olahraga jalan kaki 20 km kategori wanita, Nurul Ashikin Hussin mengharapkan doa warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan seluruh rakyat Malaysia agar dapat membawa pulang pingat Sukan SEA.

Mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri itu berlepas ke Hanoi hari ini bersama jurulatih, Muhammad Fauzi Sulaiman.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berharap pengorbanan selama setahun dalam memberi tumpuan terhadap latihan dan tidak bertemu keluarga diharap memberi pelangan yang  berbaloi buatnya.

“Semoga semua warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan seluruh rakyat Malaysia doakan agar dapat membawa pulang pingat kepada negara.

“Terima kasih buat UMP yang banyak membantu memudahkan urusan pengajian serta dorongan jurulatih dan sokongan kuat daripada keluarga dalam merealisasikan impian untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA kali ini,” katanya pada majlis meraikan atlet sebelum berangkat ke Hanoi, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Rusllim Mohamed berkata, warga UMP amat berbangga dengan pencapaian dipamerkan Nurul Ashikin yang memberikan sepenuh komitmen dalam misi menjulang nama negara.

“Dalam menggalas cabaran ini, Universiti sentiasa memberi sokongan dan peka terhadap kebajikan dalam kalangan atlet UMP bagi memastikan atlet beraksi pada tahap terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast