KUALA LUMPUR – Sudah dua tahun penduduk Residensi Awani 2 di Kampung Batu Muda, Sentul di sini dihimpit dilema yang tidak berkesudahan.
Malah masalah menjadi lebih rumit apabila Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang sepatutnya ditubuhkan dua tahun lalu sehingga kini tidak muncul-muncul.
Menurut wakil penduduk, Ahmad Firdaus Arben, kegagalan penubuhan JMB membawa kepada rentetan masalah seperti ketiadaan air, lif tidak kondusif dan rumah sampah yang tidak mencukupi.
“Sebelum ini banyak masalah air tanpa notis, pemaju tuduh Air Selangor yang salah walhal pam bangunan di sini sendiri yang gagal berfungsi.
“Lif pula cuba bayangkan rumah 44 tingkat tapi cuma ada tiga lif yang kerap rosak.
“Rumah sampah cuma ada satu walhal perumahan ini mixed development. Sepatutnya ada dua rumah sampah. Ini semua sebab JMB sampai sekarang tak ada, segala rundingan tergendala,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.
Tambah Firdaus, penduduk juga dikejutkan dengan penyata kewangan yang didakwa susut secara mendadak dalam tempoh setahun tanpa sebarang penjelasan daripada pemaju.
“Laporan audit RM1.8 juta pada tahun 2020 hanya berbaki RM169 pada tahun berikutnya. Bayangkan penyata kewangan daripada Februari 2020 hingga Januari 2021 hanya tinggal RM169.
“Macam mana pengurusan pemaju sampai jadi macam itu? Benda itu kita tak boleh tahu sebab tiada JMB,” ujarnya lagi..
Mengulas lanjut, Firdaus juga kesal apabila usaha penduduk mengadakan pertemuan dengan Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) gagal mendapatkan jalan penyelesaian.
“Kita sudah pergi COB tapi hanya dapat jalan buntu. Bila kita bermesyuarat 29 Mac 2022, keputusan COB cakap katanya 15 Mei diadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama tapi pada April yang lalu, COB kata dibatalkan pula,” keluhnya.
Malah beliau turut meminta COB di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memainkan peranan dengan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pihak pemaju di bawah Akta Pengurusan Strata (Akta 757).
“Mohon COB guna kuasa dalam Akta 757 jelas bahawa perlu kenakan tindakan kepada pemaju tapi COB tak guna kuasa yang ada untuk denda.
“COB pun kata dalam 12 bulan jika pemaju tak boleh buat (AGM), boleh didenda atau jika tak dikenakan denda, COB boleh arahkan untuk melantik pihak ketiga dan melaksanakan AGM. Tapi COB tak bertindak sedemikian,” ulasnya.
Sementara itu MalaysiaGazette yang mendengar luahan hati tersebut tampil mendapatkan reaksi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya keresahan penduduk menemui titik penyelesaian.
Datuk Seri Shahidan Kassim berjanji akan menyiasat keluhan penduduk dan akan mengambil tindakan.
“Sekarang saya mendengar dan tindakan akan diambil. Ini adalah ketegasan, saya nak beritahu di pihak kami bahawa apa sahaja maklumat tentang permasalahan rakyat akan diambil tindakan serta-merta,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Yayasan Wilayah Persekutuan semalam. – MalaysiaGazette