Sidang media Persatuan Bola Sepak Malaysia yang mengumumkan senarai nama pemain yang akan dipanggil untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Khamis ini di Auditorium, Tingkat 3, Wisma FAM, Kelana Jaya di Selangor, hari ini.

KUALA LUMPUR – Peminat bola sepak tanah air terus mempersoalkan keputusan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memanggil Guilherme De Paula untuk menyertai kem latihan pusat pasukan negara bermula esok.

Ini kerana mereka mempersoalkan kehadiran De Paula di mana menganggap pemain naturalisasi itu tidak berada dalam keadaan dan prestasi terbaik bagi beraksi bersama pasukan negara.

Peminat masih mengingati prestasi hambar yang ditampilkan oleh De Paula ketika Malaysia beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki pada awal tahun ini di Singapura yang menyaksikan pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan.

Pemain berusia 35 tahun itu gagal menjaringkan sebarang gol di peringkat kumpulan dan ada insiden di mana dia membaling botol air dibangku simpanan setelah digantikan dengan Luqman Hakim Shamsudin pada perlawanan menentang Kemboja.

Selain De Paula, Kim Pan-gon juga memanggil tiga penyerang lain iaitu Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman), Darren Lok serta R.Kogileswaran (Petaling Jaya City) dan peminat berpendapat tiga pemain ini sudah cukup untuk mengisi bahagian serangan pasukan kerana mereka telah menampilkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Super.

Turut dipertikai, seorang lagi pemain naturalisasi yang mendapat kritikan dari peminat dalam skuad kali ini ialah Mohamadou Sumareh di mana juga dianggap tidak memberikan impak positif terhadap pasukan berdasarkan perlawanan persahabatan yang dihadapi pasukan negara di Singapura bulan lalu.

Semalam, Pan-gon memanggil seramai 29 orang pemain untuk menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brunei dan Hong Kong serta saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun. Kemudian mereka akan menghadapi tiga perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun 2022) di Stadium Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast