SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Jun ini sama ada Samirah Muzaffar dan dua remaja dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Tarikh itu ditukar daripada tarikh awal pada 30 Mei.
Pada 14 Februari lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Mazrin, iaitu Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng, Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan, Raju Kumar Pandit.
Perbicaraan bermula pada 6 September 2019.
Bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah, 47, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, membunuh Nazrin.
Di hadapan Hakim Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman, mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, Nur Sabrina Zubairi dan Nor Suhaili Abu Bakar manakala pembelaan diwakili Rahmat Azlan dan Savreena Kaur. -MalaysiaGazette