Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang meramalkan rumah perdana menteri dan menteri-menteri di negara ini mungkin akan dibakar oleh rakyat pada tahun 2057 atau 2063.

Beliau membuat andaian tersebut berdasarkan situasi yang berlaku di Sri Lanka ketika ini, yang mana penunjuk perasaan telah membakar rumah perdana menteri dan menteri-menteri negara Asia Selatan itu.

“Adakah mungkin rumah perdana menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?

“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?

“Adakah kita sedang mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai ‘permata’ yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan?” tanya Kit Siang dalam artikel terbaharu yang diterbitkan di blognya hari ini.

Sri Lanka ketika ini berhadapan dengan pergolakan apabila rakyatnya merusuh dan menjadikan ahli politik di negara tersebut sebagai sasaran kemarahan berikutan keadaan ekonomi yang meruncing.

Orang ramai turun ke jalan sejak penghujung Mac, melakukan protes gangguan bekalan elektrik selama berjam-jam dan kekurangan makanan, bahan api dan barangan penting lain selepas kekurangan pertukaran asing yang membawa kepada krisis ekonomi paling teruk pernah berlaku di negara itu.

Sebelum itu dilaporkan rumah keluarga milik bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dan Presiden Gotabaya Rajapaksa di Medamulana, Hambantota terbakar akibat diserang perusuh.

Kediaman dan premis perniagaan milik beberapa ahli politik dari parti pemerintah turut dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah dengan krisis ekonomi terburuk Sri Lanka sejak kemerdekaan negara itu pada 1948.

Beberapa hari lalu Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe mengumumkan negara tersebut telah kehabisan petrol.

“Bolehkah kita belajar daripada kesilapan negara-negara lain yang telah gagal untuk mencapai impian kehebatan mereka seperti Sri Lanka dan Filipina.

“Di mana pemilihan presiden (Filipina) pada 9 Mei 2022 telah menyaksikan kedatangan semula keluarga Marcos di mana Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr – yang telah lari dari istana presiden bersama bapanya 36 tahun yang lepas – melalui kempen berita palsu di media sosial dan penipuan di internet dalam kempen pilihan raya yang mengagung-agungkan undang-undang darurat dan menafikan naratif mengenai kekayaan keluarganya yang diperoleh secara haram,” kata Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia belum menjadi sebuah negara gagal.

Namun beliau membuat spekulasi, sama ada Malaysia sedang berada dalam trajektori menjadi sebuah negara gagal dalam tiga atau empat dekad yang akan datang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast