Beh Eng Lai menunjukkan barang rampasan daripada tiga suspek yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

KUALA LUMPUR – Kegiatan tiga lelaki yang melakukan pecah rumah secara berkumpulan di Lembah Klang tumpas selepas semua ditahan baru-baru ini dalam tiga serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menerima laporan kejadian samun di sebuah rumah di Taman Mastiara pada 16 Mei lalu.

Pengadu seorang wanita warga emas berusia 82 tahun mendakwa dia disamun ketika berada di dalam rumah berkenaan, namun tidak diapa-apakan oleh suspek samun.

Suspek telah melarikan beberapa barang antaranya komputer riba, tablet, empat jam tangan, beberapa keping kad bank, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM6,200 membabitkan kerugian kira-kira RM20,000,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di sini.

Tambah Eng Lai, bertindak atas maklumat yang diterima, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul telah melancarkan serbuan di tiga lokasi iaitu di Selayang, Kajang dan Seri Kembangan, Selangor dan menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 43 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas mereka, kami merampas empat telefon bimbit, beberapa barang kemas, dua jam tangan, tiga beg berjenama, tiga komputer riba, tiga tablet serta pakaian digunakan suspek ketika kejadian samun itu. Kami turut merampas sebuah kereta, enam playar pemotong dan satu playar boleh laras disyaki digunakan untuk melakukan jenayah samun.

“Modus operandi sindiket ini melakukan samun dengan memanjat pagar rumah mangsa yang terletak di kawasan terpencil sebelum memotong pagar jeriji,” tambahnya.

Eng Lai berkata, semua suspek berkenaan pernah terlibat dalam jenayah termasuk salah seorang ada 32 rekod jenayah lampau.

Saringan awal air kencing juga mengesahkan kesemua suspek positif dadah.

“Dengan tangkapan tig suspek itu polis berjaya menyelesaikan satu kes samun di ibu kota ini dan dua kes samun di Selangor,” ujarnya.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette