Hazmi Hassan
Hazmi Hassan

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan mendesak kerajaan Pas negeri itu mengkaji semula perjanjian pemberian konsesi mengurus parkir oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) kepada syarikat swasta City CarPark.

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, sayap parti itu menyerahkan memorandum berkaitan desakan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin, semalam.

Kata beliau, memorandum itu antara lain mengandungi beberapa perkara berbangkit seperti tindakan MPKB-BRI memberi kuasa penuh kepada syarikat berkenaan mengurus perihal parker dalam kawasan kendaliannya.

“Sepatutnya ketika menandatangani perjanjian itu, MPKB-BRI tidak memberi kuasa penuh kepada syarikat berkenaan, di mana dalam pentadbirannya dilihat tidak mesra rakyat, tidak ada budi bicara bagi kesalahan meletak kenderaan.

“Sepatutnya, menurut mana-mana akta ataupun undang-undang setiap pesalah mempunyai hak untuk merayu di mahkamah dan biar hakim ataupun majistret jatuhkan hukuman,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Beliau turut menjelaskan, sejak syarikat itu mengambil alih perihal parkir, MPKB-BRI hilang kuasa dan pekerja buruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu bekerja di bawah syarikat tersebut.

Justeru, tegasnya, Pemuda Amanah mencadangkan supaya Izani mengkaji balik perjanjian dan membatalkan jika ianya tidak menguntungkan MPKB-BRI dan tidak mesra rakyat.

Hazmin juga mencadangkan MPKB-BRI mengambil alih semula pengurusan parkir supaya tidak dilihat mengaut keuntungan tanpa ada toleransi kepada warga emas dan juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Terlalu banyak bantahan dan rintihan yang disuarakan oleh rakyat Kelantan berkaitan dengan sistem dan pelaksanaan parkir di bandar Kota Bharu,” katanya.

Beliau turut mendesak supaya caj parkir diturunkan daripada 80 sen kepada 60 sen sejam kerana kadar dikenakan syarikat itu terlalu mahal berbanding Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menetapkan 60 sen sejam.

“MPKB-BRI selaku PBT di kawasan ini belum lagi dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya,” katanya. – MalaysiaGazette