palm oil benefits

JAKARTA – Indonesia akan menarik balik larangan eksport minyak sawit mulai Isnin depan berikutan peningkatan dalam bekalan minyak masak domestik, kata Presiden Joko Widodo.

Keputusan untuk menarik balik larangan itu diambil walaupun harga minyak masak pukal belum mencapai harga sasaran 14,000 rupiah seliter (RM4.21), kerana kerajaan mempertimbangkan kebajikan 17 juta pekerja dalam industri minyak sawit.

Dalam pada itu, Menteri kewangan Indonesia berkata, beliau akan mengemukakan kepada presiden permintaan ahli jawatankuasa bajet parlimen untuk mengkaji semula larangan eksport minyak sawit yang dikenakan bulan lepas bagi mengawal harga minyak masak yang melambung tinggi.

Sri Mulyani Indrawati menganggarkan larangan itu akan mengurangkan hasil kerajaan sebanyak 6 trilion rupiah sebulan, katanya kepada pemberita selepas jawatankuasa itu meluluskan permintaannya untuk subsidi tenaga tambahan.

Semasa pendengaran bajet, ahli parlimen telah menggesa kerajaan menilai larangan eksport tetapi tidak membincangkan dasar itu secara terperinci.

Pembatalan larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia, akan memberi kelegaan kepada pasaran global selepas bekalan makanan semakin kritikal akibat perang di Ukraine.

Eksport minyak sawit mentah dan produk ditapis lain termasuk olein sawit dan minyak masak terpakai boleh disambung semula mulai 23 Mei, kata Presiden Widodo dalam taklimat dalam talian pada Khamis.

Larangan Indonesia, yang dikenakan sejak 28 April, merupakan salah satu tindakan perlindungan tanaman terbesar sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang menghalang eksport minyak bunga matahari dan memburukkan lagi kekurangan di peringkat global.

Minyak sawit digunakan dalam segala-galanya daripada makanan kepada sabun kepada bahan api, dan langkah Indonesia mengancam untuk meningkatkan kos lebih banyak lagi merentasi pelbagai rantaian bekalan pada masa inflasi yang berleluasa.

Kerajaan Indonesia telah bergelut untuk mengawal harga dan mendapatkan bekalan tempatan sejak Disember, dengan pelbagai langkah diambil mulai daripada had harga, kepada sekatan eksport dan pemberian wang tunai untuk isi rumah dan penjaja.

Tetapi semua itu gagal menurunkan harga kepada sasaran kerajaan 14,000 rupiah seliter minyak pukal.

Kos yang melonjak mendorong inflasi ke paras tertinggi tiga tahun pada bulan April.

Bagaimanapun, tindakan Indonesia mengharamkan eksport sawit jika tidak berpanjangan.

Gro Intelligence, sebuah firma analisis pertanian, berkata bahawa kerajaan boleh dipaksa untuk melonggarkan langkah itu menjelang minggu keempat Mei untuk mengelakkan tangki simpanan daripada melimpah.

Sebuah kumpulan industri juga meramalkan dasar itu akan berakhir bulan ini. Reuters/Bloomberg