Zairil (depan) menujukkan palang automatik yang disediakan PBBPP bagi laluan jip bagi mengelakkan kemasukan kenderaan tanpa permit.

GEORGE TOWN – Pemilik kenderaan yang menaiki Bukit Bendera melalui laluan jip berdepan tindakan kompaun serta dibawa ke mahkamah berkuat kuasa 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, tindakan tersebut diambil bagi memastikan kenderaan yang mempunyai permit saja menaiki laluan itu bagi mengelakkan berlakunya kemalangan serta kesesakan lalu lintas di atas bukit tersebut.

Jelas beliau, bagi menangani kemasukan kenderaan tanpa permit Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) melaksanakan kawalan secara fizikal dengan pemasangan palang automatik serta pondok kawalan trafik dengan sistem pemantauan kamera litar tertutup (CVTV).

Zairil Khir Johari

“PBBPP memberikan kad akses kepada pemilik kenderaan yang terdiri daripada penduduk, peniaga, kontraktor, pembekal, agensi kerajaan serta mereka yang mempunyai permit untuk naik ke laluan itu.

“Antara usaha lain yang dilaksanakan oleh PBBPP bagi melancarkan trafik di Jalan Jip dan sekitar kawasan atas Bukit Bendera adalah meletakkan papan tanda notis peringatan had laju di sepanjang laluan jip, penyediaan kawasan tempat letak kereta dan motosikal, menghad kawasan yang boleh dimasuki, pengubausaian segitiga ke bulatan pemasangan bollard ke kawasan tumpuan utama, penetapan waktu bagi meletak dan memunggah barang.

“Selain itu, PBBPP juga bercadang untuk mewujudkan Seksyen Pengurusan Trafik Bukit Bendera bagi membuat pemantau peraturan agar tiada pihak yang menyalahgunakan permit sera melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media Pelaksanaan Peraturan-peraturan Perbadanan Bukit Bendera (Kawalan Lalulintas 2022) di Taman Botani di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng berkata, sebanyak 10 kes kemalangan dilaporkan berlaku membabitkan kenderaan tanpa permit yang melalui jalan jip tersebut sejak tahun 2017.

Lay Leng.

Kata beliau, kemalangan di laluan jip itu menyebabkan penduduk banglo di Bukit Bendera terpaksa menyewa di hotel susulan keadaan trafik sesak untuk mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Bukan itu saja, ada kes yang mana lori terbalik serta pemilik kenderaan tidak boleh turun ke kaki bukit disebabkan pemandu tidak mahir atau tidak mempunyai pengalaman mengendalikan kenderaan di kawasan berbukit.

“Jadi sebagai alternatif untuk menyelesaikan isu ini kita laksanakan pemasangan palang automatik dan lain-lain,” jelas beliau.

Untuk makluman borang permohonan permit masuk boleh dimuat di laman sesawang https://corporate.penanghill.gov.my/index.php/ms/permohonan-permit-masuk-jalan-jip atau boleh didapati di Pejabat PBBPP pada waktu bekerja kecuali hujung minggu serta cuti umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast