Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman menyampaikan sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 MEI 2022.

SUBANG – Pecah rumah dan curi motosikal merupakan dua jenayah yang dikesan berlaku semasa musim cuti Hari Raya Aidilfitri di daerah Subang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, bagaimanapun angka atau indeks dua jenis jenayah itu tidak mencapai paras membimbangkan dan masih terkawal.

Kebanyakan kejadian pecah rumah yang berlaku di sekitar Subang semasa musim sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini adalah membabitkan rumah yang tidak membuat permohonan kawalan rondaan polis.

“Anehnya kejadian pecah rumah di Subang semasa musim perayaan Aidilfitri kali ini tidak membabitkan rumah-rumah yang mengemukakan borang kawalan pemantauan.

“Sebaliknya rumah-rumah yang tidak mengemukakan borang permohonan kawalan semasa mereka balik kampung yang dipecah masuk dan disamun penjenayah,” katanya kepada MalaysiaGazette di Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Subang Jaya hari ini.

Suasana pada sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 MEI 2022.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Mengenai indeks jenayah, Khalid menjelaskan, kes kecurian motosikal yang direkodkan juga masih terkawal dengan tindakan polis.

“Kali ini trend baharu motosikal yang menjadi tumpuan penjenayah adalah jenis Yamaha LC dan kita ambil langkah-langkah tertentu untuk mencegah trend dua jenayah ini selain sedang mengkaji serta melihat lanjut bentuk tindakan yang akan diambil mencegah kegiatan itu,” katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat agar tidak memandang remeh soal jenayah pecah rumah yang kerap berlaku semasa musim perayaan.

Suasana pada sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 MEI 2022.

“Modus operandi kejadian pecah rumah dilakukan adalah mensasarkan rumah yang mempunyai kelemahan dari aspek langkah keselamatan yang disediakan pemilik rumah yang keluar ke perjalanan jauh.

“Kalau kita tengok tempat kunci pintu belakang rumah tidak diperketatkan sehingga membolehkan ia mudah diumpil penjenayah dan dipecah masuk selain ketiadaan jeriji besi yang kuat.

“Satu lagi kesilapan dikesan daripada mangsa jenayah pecah rumah adalah mereka gagal memaklumkan kepada jiran jika mengosongkan rumah untuk meneruskan perjalanan jauh.

“Nasihat saya kepada pemilik rumah yang cuai ini, sekiranya nak tinggalkan rumah untuk perjalanan jauh, tolong maklumkan kepada jiran anda dan juga polis,” tegasnya. – MalaysiaGazette