MELAKA – Seorang penolong jurutera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM600 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Suhairol Samsudin, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Kolej Vokasional Melaka Tengah didakwa mendapat wang tunai berjumlah RM600 ringgit daripada Abdul Rashid Omar, 57, yang diketahui mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi dengannya.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Lot 1762-3 Jalan Sungai Punggur Laut dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 9.30 malam 28 Februari 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut mengemukakan syarat tambahan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai.

Suhairol yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan perlu menyara keluarga termasuk anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai.

Elesabet kemudian menetapkan tarikh 17 Jun sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette