JOHOR BAHRU – Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang dalam trend meningkat dalam kalangan kanak-kanak ketika ini perlu diasingkan dari kontak lain bagi mengelak jangkitan.
Pakar Pediatrik dan Neonatologi Hospital Pakar KPJ Puteri Dr Ismail Haron berkata, gejala HFMD adalah ringan dengan simptom demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.
Bagaimanapun ia boleh menjadi serius sekiranya tidak dipantau.
“Sekiranya kanak-kanak itu tidak mampu makan dan minum, mengalami demam yang tinggi atau mempunyai tanda-tanda komplikasi yang lain, anak ini perlu dimasukkan ke hospital.
“Namun jika kanak-kanak itu mengalami demam yang suhunya dapat dikawal, mampu untuk makan dan minum bagi menjaga hidrasi badan, kemasukan ke hospital adalah tidak perlu, namun ibu bapa dinasihatkan untuk membawa anak berjumpa doktor untuk nasihat kesihatan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Ismail berkata, kanak-kanak yang menghidap HFMD juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.
Katanya, faktor utama untuk mengekang penularan penyakit HFMD dengan meningkatkan kebersihan diri, kerap basuh tangan, memakai pelitup muka jika batuk atau bersin kerana penyakit HFMD boleh merebak melalui ‘direct contact’, rembesan air liur, hingus.
“Penyakit ini juga boleh dipindahkan melalui perkongsian peralatan seperti alatan makanan, mainan, berkongsi tuala dan selimut.
“Oleh itu, ibu bapa berperanan untuk memastikan kanak-kanak HFMD ini diasingkan dengan kontak lain serta tidak menghantar ke pusat jagaan atau mengunjungi tempat awam,”katanya.
Majoriti kes HFMD bergejala ringan akan sembuh dalam masa tujuh hingga 10 hari.-MalaysiaGazette