Sekumpulan ahli PKR membuat laporan polis wujudnya politik wang dalam kalangan calon PKR pada pemilihan 2022.

HULU SELANGOR – Lebih banyak laporan polis telah dibuat terhadap seorang calon dalam pemilihan PKR di sini berhubung dakwaan wujudnya politik wang bagi membeli undi.

Undi itu bukan sahaja untuk seorang calon, sebaliknya juga untuk keseluruhan ‘cai’ kumpulan bertanding dalam pemilihan PKR 2022-2025.

Terbaharu, sekumpulan ahli lebih 20 orang telah membuat laporan polis terhadap seorang calon berhubung pemberian barangan makanan asas dan lain-lain dengan pesanan untuk mengundi calon tertentu pada undian fizikal pada hari ini yang bertempat di Golf & Resort Bukit Beruntung.

MalaysiaGazette turut diberikan salinan laporan polis itu, selain beberapa kepingan gambar barangan disifatkan ‘rasuah’ dan pesanan untuk mengundi calon tertentu.

Semalam media melaporkan seorang ahli PKR yang juga pengundi di sini mendakwa ditawarkan wang sogokan ribuan ringgit sebagai ganjaran jika memberi undi kepada salah seorang calon bertanding dalam pemilihan cabang.

Pemilihan PKR Hulu Selangor: Soundrarajan dakwa ditawar wang sogokan

Ahli itu,  M Soundrarajan Mariappa mendakwa dia didatangi oleh seseorang yang dipercayai pegawai khas calon tersebut sebelum menawarkan ganjaran, selain bayaran tambahan ribuan ringgit jika membawa orang-orang lain bagi tujuan tersebut.

M Santhiran

Dalam pada itu, seorang lagi PKR dan calon bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan Cabang, M Santhiran memberitahu MalaysiaGazette aduan telah dibuat kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi siasatan menyeluruh.

“Kita adalah parti yang bercakap tentang reformasi, yang menolak rasuah dan politik wang. Seandainya benar wujudnya dakwaan-dakwaan ini, ianya perlu disiasat dan bukanlah membiarkan golongan ‘kayangan’ terus kebal melakukan apa sahaja.

“Yang buat laporan ini bukanlah melakukan gimik pilihan raya sebaliknya benar-benar amanah dalam perjuangan parti. Tolonglah siasat dan jangan biarkan perkara seumpama ini berulang pada masa hadapan.

“Malu kita kepada pihak lain, kita tuding jari pada ahli politik dan parti lain. Kita gah bercakap tetapi apabila berlaku depan mata, jangan lupa kita biarkan begitu sahaja,” tegasnya.

Perang poster di Hulu Selangor

Santhiran bersama seorang lagi ahli, Aylwin Chan Wai Tuck telah membuat laporan polis bagi tindakan susulan dan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan itu turut bimbang dengan keselamatan diri ahli yang tampil membuat laporan.

PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan itu menghadapi PRU15 yang dijangka tahun hadapan.

Untuk makluman, pemilihan PKR di Selangor akan berlangsung hari ini jam 9 pagi dan berakhir sekitar 5 petang dan diakhiri di negeri Perak serta Sarawak pada 22 Mei.

Pemilihan PKR pada kali ini memperkenalkan pengundian secara dalan talian di aplikasi Adil pada 18 Mei hingga 20 Mei sebagai pilihan kepada anggota yang tidak mahu mengundi secara fizikal. – MalaysiaGazette

Banyak taktik kotor pemilihan PKR kali ini – Sumber

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast