Soundrarajan membuat laporan politik wang di Hulu Selangor.

HULU SELANGOR – Seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga pengundi mendakwa ditawarkan wang sogokan ribuan ringgit sebagai ganjaran jika memberi undi kepada salah seorang calon bertanding dalam Pemilihan Cabang PKR Hulu Selangor pada 21 Mei ini.

Malah dakwa ahli itu,  M. Soundrarajan, dirinya didatangi oleh seseorang yang dipercayai setiausaha khas calon berkenaan di sebuah kedai gunting di Jalan Kuala Kali yang membuat tawaran itu.

“Saya kenal lelaki itu. Dia beritahu saya supaya beritahu semua ahli lain jika undi calon pilihannya, setiap seorang akan diberikan RM50 manakala saya pula akan dapat RM1,000. Jika saya dapat panggil lima ketua ahli pula saya akan diberikan RM1,000 lagi bagi setiap orang.

“Saya tidak sangka akan diberikan tawaran seperti itu namun saya dan ahli lain tidak termakan dengan ganjaran itu kerana kami sudah membuat keputusan untuk memilih calon lain kali ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Soundrajan juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan berharap tindakan susulan akan segera dilakukan.

“Kita tidak mahu nama parti kita terpalit dengan isu-isu seperti ini apatah lagi kita sentiasa bercakap tentang anti rasuah dan menolak politik wang, jadi apakah ini patut lagi-lagi seseorang yang pernah bergelar wakil rakyat,” tegasnya.

MalaysiaGazette sedang cuba mendapatkan reaksi berhubung perkara itu dan setakat artikel ini ditulis belum ada apa-apa kenyataan tentang dakwaan berkenaan.

Bagaimanapun semalam, calon Naib Presiden PKR, Datuk Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan politik wang dalam pemilihan parti tersebut bukan budaya parti.

Menurutnya, perbuatan tersebut sewajarnya dielakkan dalam usaha parti tersebut membentuk pasukan kepimpinan yang kuat untuk masa depan.

PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan itu menghadapi PRU15 yang dijangka tahun hadapan.

Untuk makluman, pemilihan PKR di Selangor akan berlangsung pada 21 Mei dan diakhiri di negeri Perak serta Sarawak pada 22 Mei.

Pemilihan PKR pada kali ini memperkenalkan pengundian secara dalan talian di aplikasi Adil pada 18 Mei hingga 20 Mei sebagai pilihan kepada anggota yang tidak mahu mengundi secara fizikal. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast