Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berucap pada Mesyuarat PIBG di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, Kuala Selangor, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA SELANGOR – Langkah Perdana Menteri memansuhkan permit import (AP)  makanan mampu menyelesaikan pelbagai kerenah birokrasi untuk mengimport bekalan daging dan ayam dari luar negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau sendiri pernah berhadapan dengan masalah itu ketika menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2009.

“Saya sebagai menteri dan bekas menteri pertanian, PM juga bekas menteri pertanian, kita faham, saya sokong tindakan yang dibuat PM.

“Saya sejak dulu memang tak puas hati kenapa susah sangat prosedurnya (import makanan).

“Nak import ayam pula ada syarat, tak boleh import ayam bulat, (hanya) ayam potong-potong.

“Walaupun kita menteri tempoh hari, kita buat dasar, tetapi bila pelaksanaannya ding-dong, akhirnya pilihan raya, bertukar.

“Harap tindakan PM itu amat tepat sekali untuk kita cuba nak mengurangkan masalah kenaikan harga barang,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju memansuhkan keperluan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa, 18 Mei lalu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Dengan pemansuhan keperluan berkenaan, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini sebagai antara usaha menangani isu keselamatan makanan.

Noh juga menyambut baik langkah Perdana Menteri itu dijangka menyelesaikan masalah red-tape yang menyukarkan ushawan tempatan mengimport daging lembu dan kambing halal dari luar negara.

“Kita tahu barang tengah mahal, ada usahawan-usahawan nak bawa daging import dari Mongolia.

“Bila saya nak tolong, macam-macam SOP akhirnya tak boleh bawa masuk import.

“Itu yang dikata kartel, saya tahu beberapa syarikat yang diberi AP untuk mengimport daging.

“Kalau PM kata hapus (AP) siapa yang ada peluang esok boleh bawa masuk LA, jadi tak perlu terlalu banyak red-tape,” katanya lagi. – MalaysiaGazette