KUALA LUMPUR – Polis mengesan pemandu Perodua Bezza merah yang memandu secara merbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan di Jalan Kinabalu, di sini, dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya mendapati kejadian berkenaan berlaku pada Jumaat lalu menerusi video yang tular di Facebook.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan telah berlaku pada 20 Mei 2022, jam lebih kurang 11.59 pagi yang melibatkan kenderaan motokar Perodua Bezza merah dan Perodua Aruz.

“Pemandu Perodua Aruz telah hadir membuat laporan polis. JSPT KL masih mengesan pemandu kenderaan Perodua Bezza merah untuk tampil membuat laporan polis,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Sebagai rekod, sejak semalam tular video berdurasi yang dimuat naik di laman facebook oleh pemilik akaun Mohd Fikri Zaarishamdi laman DashCam Owners Malaysia yang memaparkan kejadian kemalangan di Jalan Kinabalu melibatkan kenderaan motokar Perodua Bezza merah dan Perodua Aruz.

Dalam video menunjukkan pemandu Perodua Bezza merah menukar lorong untuk keluar ke susur dalam keadaan melulu, mengundur sebelum melanggar kenderaan di belakangnya.

Sehubungan itu, Sarifudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian berkenaan agar menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Safri Bin Abdullah atau menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana Balai Polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast