SEBERANG PERAI – “Sebagai anggota bomba walaupun tidak bertugas, sedaya upaya saya mahu menyelamatkan wanita berkenaan,”.
Demikian kata Muhammad Syahir Jamaludin, 31, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak yang tular sebagai hero menyelamatkan wanita daripada cubaan bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang, semalam.
Katanya, dia tidak menyangka tindakan spontan membantu wanita itu atas dasar tanggungjawab sesama manusia menjadi perbualan hangat netizen selain ia tular di laman media sosial.
Mengulas mengenai detik kejadian, Muhammad Syahir berkata, dia tidak bertugas dan ketika itu dalam perjalanan dari Kepala Batas menuju George Town.
“Saya lihat ramai pengguna jalan raya dan kenderaan berhenti di bahu jalan sebelum menyedari ada wanita berdiri di tebing jambatan berkenaan dipercayai hendak terjun ke laut.
“Wanita berusia 40-an itu mendakwa dia dari Bukit Mertajam dan wajahnya kelihatan sedih ketika berdiri di tebing.
“Daripada percakapannya, wanita berkenaan dipercayai mempunyai masalah dengan keluarga dan orang awam juga berusaha menenangkannya,” katanya ketika ditemui di Dewan Millenium, Kepala Batas, hari ini.
Tambah anak kelahiran Tikam Batu, Kedah itu, berbekalkan pengalaman 12 tahun berkhidmat dia mengambil masa beberapa minit untuk menyelamatkan wanita daripada terjun dengan turut dibantu beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Ini kes kedua cubaan terjun jambatan yang saya bantu biasanya saya terlibat dalam kes cubaan terjun bangunan dengan sesi memujuk ada masanya mengambil masa berjam-jam lamanya.
“Allah dah rancang kebetulan saya lalu di situ. Saya pun tidak sangka,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Syahir menerima sijil penghargaan sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022.
Sijil penghargaan itu disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib selepas melancarkan Bomba Komuniti Keluarga Malaysia Pasukan Bomba Uniti bersempena sambutan tersebut. – MalaysiaGazette