Kekurangan pekerja tempatan dan ketiadaan pekerja asing menyebabkan bekalan ayam tergendala.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Isu ayam semakin meruncing apabila tindakan segelintir penternak mengambil keputusan menutup beberapa reban ternakan mereka untuk tempoh masa beberapa hari.

Keadaan itu dilihat semakin parah apabila kekangan utama iaitu dedak dan kekurangan pekerja menyebabkan penternak sudah tidak mampu untuk meneruskan kerja harian.

Meskipun pelbagai tanggapan dibuat namun di sebaliknya, isu pekerja perlu dipandang lebih serius.

Pengurus Besar Syarikat Ayam Bismi Sdn Bhd, Azli Saat berkata, ia tidak mampu dibendung lagi syarikatnya juga terpaksa menutup beberapa reban akibat tiada pekerja.

“Sekurang-kurangnya seorang pekerja ditempatkan untuk menjaga reban yang memuatkan 20,000 hingga 30,000 ekor ayam.

“Buat masa ini, ada pekerja saya yang terpaksa menjaga dua reban dalam masa sama. Kami tiada pilihan.

“Ketiadaan pekerja membuatkan banyak penternak mengalami masalah sama dan akhirnya, ayam tidak dapat dipasarkan seperti sebelum ini,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk ‘Siapa Sebenarnya Kartel Ayam?’, Azli juga mengakui kesukaran mendapatkan pekerja disebabkan pelbagai lapisan birokrasi perlu dilalui.

“Setiap penternak perlu menampilkan beberapa borang dan keperluan untuk mengiklankan sekurang-kurangnya sebulan.

“Seperti syarikat saya, sudah memasuki lapisan keempat tetapi ada syarikat masih di tahap dua yang mana satu lapisan juga mengambil masa begitu panjang.

“Alasan yang diberikan oleh Kementerian Sumber Manusia adalah ruang harus diberikan kepada pekerja tempatan yang terkesan dengan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka-mereka ini sedang mencari pekerjaan dan perlu diberi keutamaan sebelum membawa masuk pekerja asing,” katanya.

Azli berkata, perkara itu membuatkan penternak terus menghadapi kesukaran memandangkan tidak ramai pekerja tempatan yang mahu bekerja dalam sektor perladangan dan penternakan.

“Pekerja tempatan lagi suka kerja di dalam air-cond, mana ada yang nak kerja cuci tahi ayam, cuci reban. Kerja-kerja begini memang tidak ada yang pandang dan jika ada mereka, demand gaji terlalu tinggi,” katanya.

Jelasnya, untuk bekerja di dalam satu reban yang berkeluasan 300 kaki persegi, perkara penting selepas ayam dipasarkan adalah membersihkan najis ayam.

“Najis ayam setebal lebih 11 inci itu perlu dikorek dan dibersihkan sebelum anak ayam dimasukkan dalam reban. Inilah yang menjadi kekangan penternak. Pernah ada pekerja yang datang, pukul 10 pagi cabut lari sebab tak sanggup nak korek najis ayam.

“Pelbagai usaha kami sudah lakukan, buka peluang kepada mereka yang tak ada kerja tapi apabila sampai najis ayam, mereka tak sanggup,” katanya.

Jelasnya, bekerja di kilang ayam dan bekerja di ladang adalah dua perkara berbeza.

“Di ladang, selain najis, pekerja perlu mengangkat dedak ayam yang beratnya 10 kilogram. Bukan satu tetapi 100 beg untuk diberi ayam ini makan.

“Sebab itu saya katakan pekerjaan ini hanya warga asing yang mampu lakukannya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast