Nigel Cledwyn Motinius

KOTA KINABALU – Pelajar Malaysia dari Sabah yang sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Undang-Undang di University of the West of England (Bristol) telah dipilih sebagai pemenang tempat pertama dalam pertandingan peringkat antarabangsa ‘Sustainable Investment Challenge 2022’.

Lebih membanggakan, Nigel Cledwyn Motinius telah berjaya mengatasi 13,750 peserta lain dari 95 negara di seluruh dunia.

Sustainable Investment Challenge 2022 merupakan pertandingan anjuran Banka Generali (Private Bank Company) yang berpangkalan di Milan, Italy dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti MIP Politecnico di Milano (University of Milan, Italy), MainStreet Partners Italy (Finance Agency) dan CFA Society Italy (NGO).

Pertandingan ini telah diadakan secara atas talian bermula pada 28 Mac 2022 – 8 April 2022 dan terbuka kepada orang awam termasuk pelajar universiti.

Sepanjang tempoh pertandingan, para peserta telah diberi tugasan untuk mengurus urusniaga pelaburan sejumlah wang ke pelbagai syarikat yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Pemilihan pemenang telah dilakukan berdasarkan kepada lima kriteria iaitu kualiti laporan akhir, perolehan nilai balas yang dilaburkan seperti di bawah.

Penilaian juga merangkumi kesedaran komersil para peserta, kebolehan mejalankan dagangan di pasaran dan melaksanakan penyelidikan terperinci mengenai status atau tahap ESG sesebuah syarikat.

ESG adalah merujuk kepada Environmental, Social & Governance, norma baharu dalam industri dan ianya merupakan kriteria yang digunapakai untuk menilai kesan amalan dan pelaksanaan sesebuah syarikat kepada prestasi kewangan dan operasi mereka.

Semasa pertandingan, para peserta perlu mengekalkan pelaburan yang menguntungkan di syarikat yang mempunyai tahap ESG yang baik.

Pada peringkat akhir pertandingan, para peserta yang berada di kedudukan teratas dikehendaki untuk menyediakan laporan akhir yang memberikan penjelasan mengenai strategi pelaburan mereka.

Semasa mengumumkan pemenang melalui video di laman web penganjur baru-baru ini, Paolo Fabris selaku wakil dari pihak penganjur memberi pujian ke atas kualiti laporan akhir yang disediakan oleh Nigel.

”Laporan akhir yang disediakan oleh Nigel merupakan antara laporan akhir yang terbaik dalam semua pertandingan yang diadakan selama ini.

”Beliau berjaya menerangkan strategi yang digunakan sepanjang pertandingan dengan cemerlang dan juga mengikuti strategi yang beliau rancang,” katanya.

Apabila ditanya mengenai fokus dan tindakan Malaysia dalam mengintergrasikan ESG dalam ekonomi negara, Nigel berkata, terdapat banyak cabaran dalam melaksanakan ESG memandangkan ianya merupakan satu norma baharu dan masih banyak perkara yang kurang jelas, termasuk variasi dalam pemarkahan dan penilaian.

Sebagai contoh, firma guaman tidak akan mempunyai ‘score weightage’ yang sama berbanding dengan syarikat berkaitan perusahaan kertas. Isu ini perlu diselaraskan oleh kerajaan dengan mematuhi piawaian antarabangsa.

‘Pada kebiasaannya, piawaian antarabangsa ini dikawal oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan firma-firma pelaburan gergasi, sekali gus memberi cabaran kepada sesebuah negara untuk terus bersaing,” jelas beliau.

Nigel juga berpendapat bahawa, ESG di Malaysia akan berkembang dengan cepat melalui program dan tindakan yang diambil oleh Kementerian bertanggungjawab iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri termasuk program lawatan kerja ke Amerika Syarikat yang dijadualkan pada bulan Mei 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast