Shuib (kiri) bersama seorang lagi rakannya menunjukkan surat temujanji online Imigresen yang diterimanya namun gagal mendapatkan pasport kerana kaunter kehabisan nombor giliran di UTC Kotaraya, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor terutama individu yang ingin mengambil pasport mereka mula mengeluh apabila terpaksa beratur panjang sehingga lebih lima jam.

Lebih mengecewakan, apabila sudah lama menunggu mereka diarahkan pulang oleh kakitangan Jabatan Imigresen bertugas atas alasan kehabisan nombor giliran.

Wartawan MalaysiaGazette turut melalui pengalaman sama di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Cawangan Kota Raya dua hari lalu juga gagal mendapatkan pasport mengikut jadual ditetapkan setelah empat jam menunggu disebabkan kehabisan nombor giliran kira-kira pukul 2.30 petang.

Tinjauan juga mendapati sebahagian pengunjung terpaksa bersila di lantai kerana menunggu terlalu lama.

Kebanyakan ibu bapa yang membawa anak-anak kecil juga terpaksa pulang kerana penat akibat menunggu terlalu lama.

Hari ke dua tinjauan di lokasi sama kira-kira pukul 6.45 pagi pula mendapati, dua pintu utama di bahagian bawah dan atas pusat UTC mula dibanjiri orang ramai walaupun pusat berkenaan dibuka pukul 8 pagi.

Rata-rata pengunjung yang memberitahu mereka berbuat demikian kerana ingin mengambil pasport mereka sejak sistem online diperkenalkan.

Hasil tinjauan juga mendapati laluan beratur kepada individu yang dibenarkan walk in melibatkan warga emas dan individu kali pertama juga sesak teruk.

Wartawan yang tiba pukul 7 pagi melalui pintu utama di bahagian atas pusat UTC Kotaraya mendapati orang ramai beratur panjang sampai kawasan parkir kenderaan untuk memastikan mereka mendapat giliran awal.

Penulis bagaimanapun masih gagal mendapatkan pasport walaupun sudah hampir tiga  jam 45 minit beratur selain dimaklumkan pegawai bertugas hanya 150 nombor giliran di keluarkan  berbanding 200 nombor pada hari sebelumnya.

Apa yang dikesalkan  tidak ada seorang pun anggota mahu pun pegawai imigresen bertugas memaklumkan mengenai kehabisan nombor giliran sehinggalah mereka tiba di bahagian depan pintu masuk kawasan imigresen.

Keadaan itu juga dilihat antara punca orang ramai terpaksa menunggu terlalu lama selain keadaan sesak di tingkat tiga bahagian berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, setibanya di kaunter hadapan, penulis dimaklumkan pasport terpaksa diambil di UTC Setia Tropika dengan alasan tersalah cetak.

Namun menurut pegawai tersebut, kes sedemikian merupakan kes yang keempat berlaku di situ.

Seorang kakitangan kerajaan, Farah Ahmad, 32, mengakui terpaksa berulang alik sebanyak dua kali ekoran masalah yang sama.

Farah

Lebih menyulitkan, beliau terpaksa memohon cuti tambahan disebabkan kelewatan yang berlaku.

Beliau yang mempunyai urusan di Singapura dalam minggu ini bagaimanapun reda sekiranya pasport yang sepatutnya telah diterima masih tidak boleh didapatkan.

“Saya datang sini semalam pukul 10.30 pagi memang sudah penuh tetapi saya tidak beratur tetapi saya masuk dalam sebab kita sebenarnya mahu collect pasport tapi sama juga perlu ambil nombor.

“Dekat sejam juga untuk nak tanya sahaja sebab ramai orang. Selepas itu saya buat keputusan untuk ke UTC Pasir Gudang tapi di sana pun sama juga langsung tak bagi masuk sebab dia kata sudah habis nombor sehari 200 sahaja nombor.

“Sepatutnya online mereka sudah betul-betul prepare bila sudah masuk terus proses ini pun penuh sebab Covid-19 pun kita tidak tahukan,” katanya.

Bagi warga emas, Shuib Jamil, 75, kecewa dan marah dengan sistem digunapakai kali ini kerana ia mengelirukan terutama bagi orang berusia sepertinya.

Shuib

“Kita sudah tua, minggu lalu datang dia kata kena temu janji lepas itu saya balik dan buat online tiba sekian haribulan kena datang sini, jadi bila datang sini tiba-tiba dia kata ini tidak boleh pakai. Dia kata  sudah masuk dalam berita tetapi masalahnya kita ini sudah berumur.

“Kita buat memang ada urusan ikut la betul-betul seperti sistem. Janji hari ini, beri hari ini,” katanya.

Selain itu, sebahagian pengunjung juga kurang senang dengan sikap sebahagian anggota Imigresen yang bertugas yang didakwa agak berkasar dengan beberapa individu yang cuba mendapatkan kepastian mengenai beberapa perkara di kaunter. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast