Ikhmal Hisham bersama 704 veteran ATM telah dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia sebagai pengiktirafan kepada anggota dan bekas anggota ATM di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Seramai 3,780 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memanfaatkan peluang meningkatkan sosio ekonomi dengan menyertai kerjaya ekonomi gig.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, perkhidmatan berasaskan keselamatan yang ditawarkan menerusi Code 7 Tech Sdn Bhd (Code 7) bersesuaian dengan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki oleh veteran ATM.

“Macam ciri-ciri keselamatan. Contohnya di rumah kita tinggalkan rumah kita. Kita tinggalkan rumah keluarga kita jadi kadang-kadang ada di hadapan rumah.

“Malam ke siang ke yang kita kebimbangan. Kita boleh talipon Code 7 ini. Mereka akan hantar anggota yang berdaftar dengan mereka untuk dari segi keselamatan.

“Mungkin mereka bukanlah mereka ada kuasa polis. Tapi mereka boleh datang bertanya kenapa? Buat apa kat depan rumah ni ada urusan apa? Ianya satu perkhidmatan yang cukup baik saya tengok,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia di Stulang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 704 veteran ATM dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia.

ATM telah berkolaberasi bersama Code 7 dalam membantu veteran ATM mendapatkan peluang kerjaya kedua yang lebih luas.

Tambahnya, veteran ATM yang berdaftar akan menjadi e-responder keselamatan dengan tawaran tangga gaji menarik selain dijanjikan kelebihan fleksibiliti masa dan lokasi bekerja.

Menurut beliau, pihaknya menetapkan sasaran seramai 10,000 veteran ATM menyertai Code 7 bagi fasa pertama yang akan dimulakan di sekitar Lembah Klang pada tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast