KUALA LUMPUR – Ketiadaan Daniel Ting pada musim ini jelas memberikan kesan besar kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) terutama kekuatan di bahagian pertahanan kiri.
Setelah beberapa percubaan ketua jurulatih, Bojan Hodak terpaksa menggunakan pemain seperti Declan Lambert dan Nabil Hakim Bokhari,
Namun akhirnya Irfan Zakaria menjadi jawapan kepada penyelesaian yang dialami KL City.
Walaupun tidak pernah beraksi di posisi berkenaan sebelum ini, Irfan akui itu bukan satu masalah apabila pantas menyesuaikan diri dengan peranan baharunya dalam pasukan.
“Memang terasa dengan ketiadaan Daniel Ting kerana dalam pasukan, kita tiada pemain yang sememangnya bermain asal di posisi pertahanan kiri.
“Declan pula tidak pernah bermain posisi pertahanan kiri kerana semasa di luar negara, dia beraksi sebagai pertahanan kanan, jadi sememangnya kami terkesan.
“Jurulatih ada terapkan beberapa formasi baharu dalam pasukan dan kami sentiasa cuba untuk ikut, termasuk saya diletakkan di bahagian pertahanan kiri.
“Saya ambil tanggungjawab ini sebagai satu cabaran baharu dalam karier dan akan cuba pastikan mampu memikul tugasan diberikan jurulatih,” katanya.
Irfan Zakaria sebelum ini banyak bermain di posisi pertahanan tengah bersama KL City selain pernah diletakkan selaku pemain tengah.
Bermain sebagai pertahanan kiri, Irfan dilihat berjaya memikul tugasan dengan baik dalam beberapa perlawanan terakhir di Liga Super bersama KL City.
Dalam pada itu, Irfan menjelaskan dia selesa beraksi selaku pertahanan kiri walaupun ada sedikit terasa kelainan pada pertama kali diarahkan Bojan bermain di posisi terbabit.
“Lama kelamaan saya semakin serasi bermain selaku pertahanan kiri dan sudah semakin tidak terasa sebarang kelainan.
“Jika bermain selaku pertahanan tengah, mungkin lebih terbuka kawasan yang saya perlu jaga.
“Namun, sebagai pertahanan kiri,saya hanya perlu berikan tumpuan di bahagian kiri dan sedikit sebanyak buatkan saya lebih senang berikan fokus di atas padang,” katanya. – MalaysiaGazette