Pengalaman pertama pengundi 18 tahun diberi kepercayaan untuk memilih pemimpin dalam PRU15.

SETELAH beberapa tahun Undi 18 diusulkan, akhirnya pelaksanaan tersebut dimulakan pada Pilihan Raya Negeri Johor (12 Mac 2022) yang lalu . Senario ini juga turut menyaksikan pendaftaran secara automatik kepada yang berusia 18 tahun ke atas dan melayakkan mereka mengundi.

Mungkin ada dalam kalangan para pengundi yang mempunyai alasan tersendiri untuk tidak mendaftar sebagai pemilih. Namun dengan inisiatif pendaftaran automatic ini telah memberi ‘peluang kedua’ kepada mereka untuk turut serta dalam pesta demokrasi baru-baru ini. Pada awal idea ini dipersembahkan, banyak pandangan serong yang dilontarkan. Para penentang cadangan Undi 18 ini berpendirian bahawa orang muda masih mentah untuk menentukan hala tuju negara terutamanya apabila melibatkan pilihanraya.

Meskipun kita masih berdepan dengan stigma yang menyatakan bahawa orang muda kurang rasional dan kurang matang, tapi akhirnya idea tersebut sudah diterjemahkan baru-baru ini. Cuma apakah faktor pendorong yang menyebabkan Malaysia mula bergerak ke arah Undi 18 ini? Apa yang kita harus faham adalah berkait keadaan semasa yang turut mendorong Malaysia perlu melaksanakannya.

Hal ini disebabkan negara kita sudah lama terperuk dan ketinggalan dalam memuncakkan hak untuk orang muda menentukan masa depan negara mereka sendiri. Negara-negara
luar sudah lama mempraktikkan Undi 18 ini. Umpamanya Amerika Syarikat, Jerman dan Britain sudah mewartakan Undi 18 di negara masing-masing semenjak tahun 1970-an lagi. Manakala negara-negara seperti India, Pakistan, semua negara Amerika Latin, Afrika dan sebahagian besar negara Asia yang lain pula sudah mempraktikkan sejak tahun 1980-an.

Yang tinggal hanya kita sahaja yang masih berperang dengan bayang-bayang kita sendiri. Hinggalah ianya berjaya dibuktikan pada 12 Mac 2022 lepas. Seperkara lagi adalah kerana anak muda yang berusia 18 tahun ke atas ini juga sudah boleh menilai dengan baik dan ada hak untuk menentukan masa depan negara mereka sendiri. Justifikasi ini  bersandarkan kepada perundangan membabitkan penetapan syarat kelayakan berdasarkan had umur, yang mana, undang-undang kita menetapkan 18 tahun sebagai umur kelayakan dan dianggap rakyat umur dewasa.

Umur 18 tahun layak membuat permohonan lesen memandu, lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan, menyertai pasukan keselamatan, tentera atau polis, menandatangani apa-apa kontrak dan perjanjian serta dianggap dewasa untuk berkahwin. Mengapa tidak kita berikan hak untuk orang muda yang berusia 18 tahun ke atas untuk berpartisipasi dalam proses demokrasi sedangkan mereka sudah boleh dianggap boleh untuk bertanggungjawab terhadap keputusan mereka sendiri disisi undang-undang?

Dalam keadaan yang lain, Pilihanraya Negeri Johor baru-baru ini memberikan suatu indikator awal terhadap pelaksanaan Undi 18 yang baru pertama kali dilaksanakan. Hal ini bertitik-tolak daripada peratusan turun mengundi yang rendah dalam kalangan julat usia 18-21 tahun. Daripada 54.92 peratus keseluruhan yang keluar mengundi yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus. Jumlah berkenaan sangat mengecewakan dan kecil berbanding jumlah keseluruhan 173, 177 jumlah pengundi muda yang didaftarkan di Johor.

Ini bermakna hanya 8, 658 sahaja pengundi muda yang turut serta menyahut seruan Undi 18 ini. Tentunya, ini bukanlah petanda awal yang memuaskan dalam pada kita cuba untuk mengupayakan hak dan kontribusi pengundi muda dalam pilihan raya negeri. Adakah wujud hambatan tertentu yang menyebabkan para pengundi muda untuk tidak turun mengundi? Ataukah peratusan ini boleh dianggap sebagai tren pengundi muda yang tidak berminat dan cakna terhadap keadaan politik nasional? Soalan-soalan ini harus segera dijawab oleh para penggubal dasar bagi mengatasi masalah ini.

Wan Muhammad Zuhir Ghazali
Ahli Dewan Muda Malaysia,
Jurucakap Mahasiswa UMNO Malaysia,
Setiausaha Kewangan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya