LONDON – Malaysia telah melaksanakan lima inisiatif intervensi bagi mengatasi penurunan kebolehpasaran graduan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang lalu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, antara inisiatif-inisiatif tersebut adalah program reskilling dan upskilling yang dinamakan sebagai Penjana KPT-CAP, program Teaching Factory, Transformasi TVET, pendidikan fleksibel dan microcredential, serta program-program mobiliti.
”Kajian Tracer yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi KPT) pada tahun 2020 mendapati, kebolehpasaran graduan Malaysia telah menurun sebanyak 1.8% kepada 84.4% berbanding 86.2% pada 2019 akibat penularan Covid-19.
”Sebagai tindak balas strategik untuk mengelak kemerosotan selanjutnya, Kementerian telah melaksanakan beberapa inisiatif intervensi yang membolehkan kadar kebolehpasaran siswazah kami meningkat sebanyak 1.1% kepada 85.5% pada tahun 2021,” katanya ketika berucap pada Persidangan Education World Forum (EWF), di sini Selasa.
EWF merupakan forum antarabangsa peringkat Menteri yang dianjurkan secara tahunan di London, United Kingdom. Ia diadakan sejak tahun 2002 dan bertindak sebagai platform perbincangan dan perkongsian pandangan serta pengalaman antara Menteri-Menteri Pendidikan/ Pendidikan Tinggi/ Kemahiran mengenai dasar, strategi dan hala tuju pembangunan pendidikan di samping isu-isu utama dan terkini dalam bidang pendidikan di peringkat global.
Jelas Noraini, RM150 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Malaysia melaksanakan program Penjana KPT-CAP.
“Program latihan upskilling dan reskilling selama empat hingga enam minggu yang melibatkan industri itu telah memberi manfaat kepada 20,000 graduan.
“Program ini amat unik kerana ialah syarikat yang mengambil bahagian menandatangani “Surat Akujanji” bagi memastikan graduan mendapat pekerjaan sekurang-kurangnya 12 bulan selepas program selesai,” katanya.
Jelas Noraini lagi, Malaysia turut melaksanakan program teaching factory bagi memastikan para graduan bersedia memenuhi permintaan semasa dan pasaran kerja.
Katanya, ketika ini, program tersebut dilaksanakan oleh empat universiti awam yang mengkhusus dalam program teknikal dan teknologi tinggi yang berorientasikan praktikal.
“Universiti-universiti ini bekerjasama dengan pemain industri untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), latihan dan perkhidmatan dalam bidang-bidang berkaitan.
“Bagi melaksanakannya, pemain industri menawarkan peralatan-peralatan bagi membolehkan pelajar mendapatkan pengalaman bekerja sebenar ketika berada di kampus.
Malaysia juga melakukan transformasi TVET bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam tempoh pandemik.
“Ia dilaksanakan dengan penubuhan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, majlis ini berperanan menasihati kerajaan mengenai bakat-bakat yang diperlukan oleh industri pada masa ini dan akan datang serta teknologi-teknologi yang perlu diberi tumpuan di universiti,” tambahnya.
Selain itu katanya, program pendidikan fleksibel dan microcredential, serta program-program mobiliti turut membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan ketika tempoh pandemik.
“Program-program ini telah dilaksanakan untuk mengelakkan kualiti pendidikan tinggi dan kadar kebolehpasaran siswazah terjejas.
“Berdasarkan pengalaman kita yang terdahulu, saya percaya kita akan bersedia untuk menyahut cabaran-cabaran mendatang sekiranya kita melakukan persediaan yang sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette