Gelagat anak Giant Panda yang diberi nama Sheng Yi dari pasangan Giant Panda Xing Xing, dan Liang Liang yang dilahirkan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) pada 31 Mei tahun lalu ketika di Zoo Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Anak ketiga pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang, yang dilahirkan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara pada 31 Mei tahun lalu secara rasmi diberi nama Sheng Yi hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemberian nama Sheng Yi yang bermaksud keamanan dan persahabatan itu bagi menjaga hubungan baik antara Malaysia dan China.

“Kerajaan Malaysia berharap Sheng Yi ini akan mengeratkan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Republik Rakyat China” ujarnya semasa menghadiri majlis Penamaan Anak Panda Gergasi Ketiga di PKGP, Zoo Negara, di sini, hari ini.

Tambah beliau, Sheng Yi dilahirkan dengan berat sekitar 140 gram anak panda gergasi betina itu berada dalam keadaan sihat dan kini beratnya melebihi 27 kilogram.

“Sheng Yi merupakan adik bongsu kepada Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015, yang dihantar pulang pada 14 November 2017, serta Yi Yi pada 14 Januari empat tahun lalu” ujarnya.

Tarikh lahir mamalia comel itu juga kebetulan jatuh pada tarikh genap 47 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

Turut hadir ke majlis, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju; Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Presiden Malaysian Zoological Society (MZS), Datuk Sr. Zaharin Md. Arif dan Timbalannya, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana. – MalaysiaGazette