Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengesahkan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

”Beberapa bulan kebelakangan ini saya mula berfikir tentang politik negara dan hala tuju masa depan politik saya. Saya telah mendapat maklumbalas dari penyokong rapat saya, pengundi di Ampang, rakan sekerja dalam kerajaan, wakil-wakil dari pertubuhan masyarakat sivil serta kumpulan dari sektor perniagaan dan korporat.

”Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan terbaharu ini menjawab pelbagai spekulasi antara Zuraida dan PBM kerana pada tahun lalu, nama Ahli Parlimen Ampang ini disebut-sebut bakal menggepalai PBM.

Malah, Zuraida tidak menafikannya sebaliknya menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkannya jika menerima tawaran.

Serentak itu, Zuraida berkata, beliau akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya juga akan berbincang tentang pendirian dan hala tuju PBM demi memperkukuhkan lagi Kerajana Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri.,” tambahnya.

Buat masa ini, Zuraida berada di Turki bagi memenuhi undangan memberi ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untul Al-Quds dan Palestin.

Beliau dijadual pulang ke tanah air pada 2 Jun selepas memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia di Athens, Greece.

Meskipun berubah parti, beliau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri yang selari dengan pendirian PBM.

Dalam kenyataan itu, Zuraida berkata, penyertaannya dalam PBM kerana perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya.

”Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama, yang membantutkan kemajuan negara. Insya Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang. Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara,” ujarnya.

Dalam kenyataan itu, Zuraida turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri i atas kepercayaan mereka melantiknya sebagai Menteri Kabinet.

”Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua kementerian.

”Akhir kata, dengan rendah diri saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas sebarang cacat cela dan kelemahan saya selama ini. Saya mendoakan yang terbaik dan semoga lakaran baru perjalanan politik saya ini mendapat sokongan semua lapisan masyarakat demi negara yang tercinta ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast