Suasana di sekitar Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone di Ibu Pejabat Port Klang Free Zone (PKFZ), Pelabuhan Klang.

KUALA LUMPUR – Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini turut mencatatkan trajektori positif beberapa petunjuk ekonomi utama dalam tempoh tersebut.

Melihat kepada sektor luaran, imbangan akaun semasa kekal mencatatkan lebihan pada RM3.0 bilion, terutamanya disokong oleh eksport bersih akaun barangan.

Prestasi pelaburan juga bertambah baik dengan pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM24.4 bilion manakala pelaburan langsung di luar negeri mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.6 bilion.

Perdagangan terus merekodkan prestasi kukuh di mana jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak
23.6 peratus kepada jumlah RM624.9 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.

Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 4.5 peratus manakala indeks volum perkhidmatan tumbuh 7.1 peratus, selari dengan perkembangan ekonomi pada suku tahun pertama 2022, bilangan pekerja meningkat 2.2 peratus kepada 15.57 juta orang manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.1 peratus dengan mencatatkan bilangan penganggur seramai 671,200 orang.

Dari segi prestasi pada Mac 2022, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks pengeluaran perindustrian mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, disokong oleh indeks pembuatan yang meningkat 6.9 peratus dipacu oleh output berorientasikan eksport dan domestik.

Nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 13.9 peratus kepada RM144.6 bilion.

Prestasi kukuh ini diterajui oleh produk elektrik & elektronik, produk makanan, minuman & tembakau dan produk petroleum, kimia, getah & plastik.

Bagi segmen harga, Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal melebihi purata inflasi Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Mac 2022 (1.9%).

IHP bagi Mac meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun terutamanya disebabkan oleh kenaikan dalam kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan juga mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.6 peratus berbanding 9.7 peratus pada Februari 2022.

Mohd Uzir menambah, indeks pelopor meningkat sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 111.3 mata, menunjukkan prestasi yang lebih baik dan menggalakkan dalam ekonomi Malaysia.

Selain itu, Statistik Kecenderungan Perniagaan memperihalkan bahawa sentimen perniagaan kekal positif pada suku tahun kedua 2022, manakala untuk enam bulan akan datang, sentimen peniaga yang optimistik terhadap prospek perniagaan mereka.

Merujuk kepada indikator tersebut, Malaysia optimis bahawa pemulihan ekonomi akan terus berdaya tahan pada suku tahun ketiga 2022 namun masih terdedah kepada risiko luaran dan tekanan menurun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast