Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPURĀ  -Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa supaya perdana menteri mengadakan segera Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Menurutnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah beberapa kali memberikan komitmen untuk membahaskan RUU tersebut dan mahu janji tersebut ditunaikan.

“Selain RUU, Sidang Khas Parlimen ini juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.

“Juga harus dibincangkan adalah mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik Covid-19 melanda, terpalit dengan rasuah.

“Justeru, Majlis Presiden menggesa perdana menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Gesaan tersebut dibuat selepas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida turut mengumumkan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik bersetuju untuk mengadakan satu lagi sidang khas Parlimen berkaitan RUU Anti Lompat Parti.

Sidang khas kedua itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berlangsung pada 11 dan 12 April.

Ia membabitkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Rang Undang-undang berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.- MalaysiaGazette