KUALA LUMPUR – Polis memperhebatkan usaha memburu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah yang meloloskan diri ketika proses tangkapan pihak berkuasa di sekitar Taman Maluri di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzham Jaafar berkata, pihaknya telah mengesan penularan sebuah video berdurasi 52 saat di laman media sosial sehingga mendapat reaksi orang ramai.
“Penelitian polis mendapati, video berkenaan memaparkan beberapa individu (anggota polis) yang menaiki motosikal sedang melakukan tangkapan ke atas suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC di persimpangan lampu isyarat, Taman Maluri.
“Suspek dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah dan ketika proses tangkapan sedang dilakukan, anggota polis cuba merampas anak kunci motosikal suspek namun gagal kerana tiada anak kunci.
“Bagaimanapun suspek berjaya meloloskan diri menggunakan motosikal yang dinaikinya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kata Muhammad Idzham, siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih diteruskan bagi mengesan dan menjejaki suspek sehingga berjaya ditangkap secepat mungkin.
“Polis juga ingin menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak tepat berdasarkan video yang tular itu.
“Kita yakin suspek dapat dicekup segera dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang,” katanya lagi.
Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti menyalahi undang-undang boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92845051 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999. – MalaysiaGazette