Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada media ketika hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Tun Razak Institut Kemajuan Desa, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 12 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Masyarakat, (Kemas) meminta ibubapa yang menghantar anak-anak mereka supaya tidak risau akan penularan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) kerana perkara itu sentiasa dipantau.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kemas sentiasa memantau perkembangan serta mengambil langkah proaktif dalam menangani penularan HFMD di premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (taska).

“Kita telah minta semua Pendidik Masyarakat TABIKA berjumlah 12,043 orang dan Pendidik Masyarakat taska seramai 1,837 orang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membuat saringan awal seperti mengukur suhu badan setiap kali kanak-kanak ini hadir ke kelas.

“Bila tamat sesi pembelajaran juga kita buat pemerhatian dan jika terdapat kanak-kanak mempunyai simptom jangkitan, ibubapa akan dimaklumkan segera untuk membawa anak mereka mendapat rawatan doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga Kemas Negeri Pahang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Kemas akan bertindak mengasingkan kanak-kanak tabika dan taska Kemas jika didapati mempunyai gejala HFMD.

Ia bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain.

Jelas Mahdzir, Kemas telah mengedarkan Garis Panduan Pencegahan Penularan Penyakit Berjangkit ke seluruh tabika dan taska sebelum ini.

“Kita nasihatkan kepada ibubapa supaya memantau kesihatan anak-anak yang ada gejala seperti demam tanda-tanda ulser pada mulut dan lidah, ruam dan lepuh pada tangan, kaki dan kawasan lampin tidak perlulah hantar anak ke rabika atau taska,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan agar Kemas mengambil tindakan menutup kelas sekiranya terdapat kes penularan HFMD.

“Jika terdapat mana-mana tabika atau taska yang terbabit, kita akan arahkan supaya ditutup serta-merta dan sekurang-kurangnya 10 hari berdasarkan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pejabat Kesihatan Daerah akan dimaklumkan jika terdapat kes dan kerja-kerja disinfeksi akan dilakukan oleh pihak Kemas.

Dalam tempoh itu juga tambah Mahdzir, Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan.

Namun Pendidik Masyarakat dan Sukarelawan perlu hadir bertugas seperti biasa.

Untuk rekod, tiga negeri mencatatkan kes tertinggi iaitu Kedah dengan 712 kes, Perak 558 kes dan Terengganu 479 kes melibatkan 180 buah premis keseluruhannya.

Kemas mempunyai 10,765 buah TABIKA dan 549 buah taska di seluruh negara. – MalaysiaGazette