Pemain Malaysia, Guilherme De Paula. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini persembahan pemain naturalisasi Guilherme De Paula sering mendapat kritikan peminat bola sepak negara setiap kali beliau menyarung jersi Harimau Malaya, namun persembahan beliau dalam perlawanan malam tadi, kelihatan lebih meyakinkan ramai.

Jaringan beliau menerusi sepakan penalti untuk memberikan kemenangan 4-0 menewaskan Brunei dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, sudah cukup untuk membungkam pengkritik, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Rata-rata penyokong bola sepak negara di Stadium Nasional Bukit Jalil melompat dan bersorak riang selepas De Paula menyempurnakan sepakan penalti itu, dan jelas namanya sering dilaungkan setiap kali bola sampai di kaki penyerang kelahiran Brazil itu.

Menyedari yang beliau sering menjadi sasaran pengkritik, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, beliau enggan tunduk terhadap tekanan, kerana beliau tahu kualiti yang permainannya, dan apa yang boleh diberikan beliau kepada pasukan kebangsaan.

“Ada ketika prestasi anda baik, dan ada ketika buruk. Anda perlu tahu bahawa perkara ini (kritik) sentiasa ada dalam bola sepak. Apabila dikritik, saya hanya terus berlatih dan bekerja lebih keras,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Merujuk kepada perlawanan malam tadi, pemain berusia 35 tahun itu percaya kemenangan besar itu akan memberikan motivasi kepada rakan sepasukannya untuk beraksi lebih baik menentang Hong Kong dalam perlawanan persahabatan seterusnya pada 1 Jun.

Pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid (kanan), Mohamad Faisal Abdul Halim (tengah) dan Guilherme De Paula Lucrecio (kiri) bergambar bersama selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2022.

Sementara itu, V. Ruventhiran, yang membuat penampilan pertamanya untuk Malaysia, menyifatkan pengalaman itu sebagai permulaan yang baik untuknya sebagai pemain kebangsaan, dan beliau mengakui amat gembira menjadi antara kesebelasan utama menentang Brunei.

“Ini baru permulaan, saya akan terus berjuang dan bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan selepas ini,” tambahnya.

Pemain Petaling Jaya City FC itu mengaku bahawa ketua jurulatih, Kim Pan Gon amat tegas dan sentiasa mahukan supaya pemainnya mengekalkan kualiti yang mereka ada, sama ada dalam sesi latihan mahu pun pada hari perlawanan.

Selepas perlawanan menentang Hong Kong, skuad Harimau Malaya kemudiannya akan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023. – Bernama