Bukan hanya sesama manusia, kita juga perlu berbuat kebaikan dengan makhluk lain seperti haiwan.
Ketika orang lain memilih untuk berehat di rumah, seorang perunding kecantikan, Nazirah Abd Rahman, 45 memilih untuk berbakti kepada haiwan jalanan. Beliau yang lebih senang dikenali sebagai ‘Mama Pinky’ mencari pelbagai jalan demi mencari dana yang agak besar bagi menampung kos makanan dan rawatan yang mencecah ribuan ringgit.
Menjadi pekerja biasa pada waktu pagi, Nazirah akan bertukar ‘wajah’ pada waktu malam setiap hujung minggu dengan memakai sut badut beraneka warna, berhias solekan lucu termasuk menjual belon bertujuan menghiburkan orang ramai di sekitar bandar Ipoh, Perak.
Usaha murni yang bermula sejak lima tahun lalu, Mama Pinky tidak pernah jemu dan putus asa kerana rasa minat dan simpati demi mengumpul dana untuk membeli keperluan haiwan yang kurang bernasib baik itu.
“Saya tidak menetapkan bayaran tertentu untuk hasil kerja yang dilakukan, asal menerima seikhlas hati dari pelanggan sudah cukup memadai.”
“Jadi apabila saya temui kucing atau anjing yang berkeliaran, saya akan beri makan atau sekiranya cedera saya akan bawa ke klinik veterinar bagi tujuan rawatan dengan menggunakan hasil yang ada.” katanya.
Tambah Nazirah lagi, masyarakat juga perlu menanam sifat belas kasihan terhadap haiwan jalanan tidak kira sama ada melibatkan kucing atau pun anjing. Kesemua haiwan tersebut turut memerlukan kasih sayang, perlindungan atau makanan seperti haiwan peliharaan yang lain.
“Jangan lah sesekali kita tinggalkan haiwan yang pernah kita pelihara di jalanan kerana amat sukar untuk ia berdikari atau mencari makan sendiri kerana pada akhirnya haiwan tersebut akan mati jika tidak bernasib baik,” ujarnya.