Dua parah dan lima cedera ringan selepas proton exora yang dinaikinya terjunam ke dalam sungai di Kapar Klang tengah malam tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Dua termasuk pemandu cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam sungai.

Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran lampu isyarat Jalan Haji Abdul Manan di Kapar, Klang Selangor malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, lima lagi penumpang dalam kereta jenis Proton Exora berkenaan terselamat dengan cedera ringan.

“Bilik gerakan operasi bomba telah menerima panggilan kecemasan melaporkan kemalangan itu pada jam 11.46 malam tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Kapar dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi, ketua operasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Exora yang telah terjunam ke dalam sungai dan terdapat tujuh orang mangsa terdiri daripada lima perempuan dan dua lelaki.

“Lima mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam manakala dua lagi mangsa yang telah tersepit di bahagian stereng kereta telah di keluarkan bomba beberapa minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan pada pagi tadi.

Tambah Norazam, kesemua mangsa tersebut dipercayai bersaudara telah dibawa ke Hospital Klang untuk menerima rawatan lanjut. – MalaysiaGazette