JASIN – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Jasin menggesa Lembaga Displin mengambil tindakan tegas terhadap anasir dalam parti yang cuba memecah-belahkan perpaduan UMNO di negeri ini.
ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha melaga-lagakan kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan negeri berbentuk spekulatif yang dibangkitkan pembangkang tidak sepatutnya disambut ahli parti sendiri.
“Apa yang menyedihkan fitnah yang dimulakan pihak pembangkang ini dikeruhkan lagi oleh individu-individu tertentu di dalam UMNO sendiri yang mendakwa mewakili jawatan utama di dalam peringkat bahagian.
“Justeru, kami mohon agar Lembaga Displin UMNO untuk bertindak dan menyiasat sekiranya terdapat anasir yang cuba terus memecah-belahkan muafakat di dalam UMNO,” katanya pada sidang media di Japerun Merlimau, Lipat Kajang, di sini, hari ini.
Hadir sama ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis serta barisan kepimpinanan UMNO Bahagian Jasin yang turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ditanya mengenai adakah ketiadaan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman bermaksud beliau tidak senada dengan mereka, Dr Muhammad Akmal berkata, semua orang di dalam UMNO boleh mengemukakan pendapat peribadi.
“Itu (pendapat Hasan) bersifat peribadi, sama ada sealiran atau tidak kita boleh fikirkan sendiri, tapi mana-mana individu (ahli) yang nak bercakap bersifat peribadi, silakan, kita tiada masalah.
“Tapi jika nak mengatakan untuk mewakili UMNO Bahagian, ia perlulah berlaku perbincangan dengan Biro Politik dan juga Mesyuarat UMNO Bahagian dan sebelum ini memang tidak ada langsung mesyuarat itu dijalankan.
“Maka kami hormat apa yang dikeluarkan Ketua UMNO Bahagian Jasin itu, namun ia adalah bersifat peribadi yang tidak sedikit pun
mewakili UMNO Bahagian Jasin.” katanya.
Mengulas mengenai spekulasi akan berlaku rombakan membabitkan jawatan Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, beliau enggan mengulas lanjut.
“Kami tak dimaklumkan (rombakan), tidak dibincangkan dalam pucuk pimpinan malah ura-ura mengenainya juga tidak kedengaran namun apa jua keputusan parti, kita akan akur,” katanya.
Sebelum ini, UMNO Melaka dilanda spekulasi bahawa Sulaiman dipaksa menandatangani surat perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.
Sulaiman bagaimanapun menafikannya dan menyifat ia adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri yang diterajuinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dakwaan itu kemudian turut dibincangkan menerusi satu forum yang disertai dua Ketua UMNO Bahagian bukan dalam kalangan wakil rakyat negeri.
Dua Ketua UMNO Bahagian berkenaan adalah Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad di Bahagian Tangga Batu yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Hasan selain Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.
Kemudian pada 13 Mei lalu, media melaporkan UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan Sulaiman segera dilantik sebagai Pengerusi UMNO Melaka dan Pengerusi BN yang baharu menggantikan Ab Rauf. – MalaysiaGazette