KUALA LUMPUR – Malaysia menundukkan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan yang dikuasai pasukan negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Gol pasukan Harimau Malaya dijaringkan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-31 dan pemain gantian, Safiq Rahim (90+3).
Ia merupakan kemenangan kedua skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan antarabangsa selepas menjinakkan Brunei 4-0 pada Jumaat lepas.
Pasukan bimbingan Kim Pon Gan mempamerkan aksi pantas dengan melakukan serangan bertubi-tubi ke arah gawang lawan namun penyudah yang lemah menyaksikan beberapa peluang terhidang di depan mata disia-siakan.
Namun, kesilapan pertahanan Hong Kong yang melakukan terjahan keras terhadap Mohammad Akhyar Abdul Rashid menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-29 bagi membolehkan pasukan negara membuka tirai jaringan.
Walaupun penjaga gol Hong Kong, penjaga gol Paulo Cesar Da Silva Argolo mengagak tepat namun bola sepakan Muhammad Safawi Rasid menerjah jaring bagi membolehkan Malaysia berada di hadapan sehingga tamat separuh masa pertama.
Malaysia kedua nyaris menambah gol lapan minit permainan bersambung apabila percubaan Akhyar Rasid yang hanya berdepan Paulo Cesar tersasar.
Setelah beberapa percubaan tersasar, Malaysia yang menguasai 59 peratus permainan menambah gol menerusi sepakan percuma pada minit-minat terakhir permainan.
Sepakan Safiq terkena benteng pertahanan Hong Kong dengan penjaga gol lawan hanya melihat boleh menggegarkan jaring. – MalaysiaGazette