KUALA LUMPUR – Rakyat hakikatnya sudah cemuh dan bosan dengan hipokrasi politiking yang menyaksikan negara menjadi tidak stabil, kehidupan makin sengsara, malah pencapaian ekonomi jauh ketinggalan berbanding negara tetangga.
Rakyat mahu Barisan Nasional (BN) kembali, namun dengan wajah yang baharu, demikian ujar Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Berucap menyampaikan Ucapan Dasarnya pada Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), beliau berkata, apa yang dinyatakan itu dapat disaksikan dengan kepercayaan diberikan rakyat melalui siri kemenangan di tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK).
Kata beliau, ia bermula di PRK Cameron Highlands hinggalah berjaya menjadi sebahagian kerajaan Sabah sebagai parti individu terbesar, kemudian menang dengan majoriti besar tiga perempat di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta menang dua pertiga di PRN Johor.
“Kebangkitan semula BN ini, saya yakin dan percaya kerana rakyat cukup bijaksana menilai dan amat memahami makna kesetiaan dan kestabilan selepas melalui tempoh empat tahun dengan tiga bentuk kerajaan yang cacamarba.
“Hanya melalui kesetiaan dan kestabilan sahajalah mampu memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang dilimpahi dengan kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya pada Konvensyen BN di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, terputusnya rantai pemerintahan negara empat tahun lalu memberikan natijah dan hikmah yang amat besar kepada BN dan rakyat.
Jelasnya, hikmah buat BN berikutan kekalahan itu memberi ruang kepada parti untuk melakukan introspeksi atau muhasabah diri atas kelemahan dan kekurangan yang ada serta merencana kembali pendekatan untuk bangkit semula.
“Hikmah buat rakyat pula ialah memberi peluang untuk menilai kemampuan sebenar parti yang dipilih membentuk kerajaan, manakala negara buat pertama kali menyaksikan sejak empat tahun lalu, tiga kerajaan dan tiga Perdana Menteri bertukar ganti.
“Ini bermula dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH), rakyat disajikan pelbagai janji bulan bintang dengan slogan ‘Malaysia Baharu’ sehinggakan akar-akar yang menjadi asas pembinaan negara bangsa cuba dirobek dan dirungkaikan.
“Mandat rakyat dipermainkan, malah pentadbiran berasaskan dendam lebih banyak dihabiskan untuk mencari salah dan memadamkan legasi BN berbanding memfokuskan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tegas Ahmad Zahid lagi, kerajaan PH jatuh apabila Perdana Menteri mereka sendiri meletakkan jawatan, kemudian kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sinonim dengan ‘kerajaan gagal’ pula mengambil alih sehingga membawa kepada peralihan kepimpinan negara bagi kali ketiga yang diterajui oleh wakil BN sebagai Perdana Menteri.
Namun katanya, kerajaan campuran yang dibentuk dengan ihsan pembangkang pastinya tidak akan mampu bertahan lantaran terpaksa melayan pelbagai karenah tuntutan dan kepentingan parti yang punya kerencaman tujuan dan matlamat.
“Boleh disimpulkan, kesan daripada PRU ke-14 yang lalu, negara tidak pernah lagi merasai suasana kestabilan sebagaimana zaman BN memerintah atas beberapa faktor.
“Keghairahan untuk menawarkan Malaysia Baharu dengan merungkaikan asas toleransi pelbagai kaum dengan cubaan merobek sifat keindukan Bumiputera Melayu Islam dalam kemajmukan.
“Pendekatan Malaysia Baharu untuk mewujudkan kesamarataan menggantikan prinsip kesaksamaan yang digagaskan BN telah melebarkan lagi jurang hingga mencetuskan kegusaran dan menajamkan prejudis hingga menggugat keharmonian,” katanya. – MalaysiaGazette