Kobe Chong.

KUALA LUMPUR – Pemain kacukan negara, Kobe Chong telah tiba di Malaysia selepas dia dilepaskan oleh kelab EFL Championship, Peterborough United pada penghujung musim 2021/2022.

Kobe berkongsi ketibaannya di Malaysia menerusi laman media sosial Instagram miliknya.

Namun pemain muda itu yang berada di salah satu hotel tidak memberitahu d imana lokasi penginapannya.

Kedatangan Kobe ke Malaysia ini secara tidak langsung mengaitkannya dengan beberapa kelab tempatan memandangkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini sedang berlangsung.

Antara pasukan yang dikaitkan dengan pemain berusia 20 tahun itu ialah Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini kerana Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards mendedahkan pasukannya akan menandatangani empat pemain baharu untuk menambah kekuatan skuad pada jendela perpindahan pertengahan musim.

Perkembangan tersebut turut disahkan oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkata pasukan berkenaan sudahpun mendapatkan khidmat empat pemain itu.

“Selesai tugas menandatangani dua pemain import dan dua pemain tempatan. Kelab berada dalam keadaan baik dan negeri under control. Lebih banyak peningkatan dalam berapa bulan mendatang untuk kedua-duanya,” katanya menerusi hantaran di instagram beliau.

Satu lagi pasukan yang dikaitkan dengan Kobe Chong ialah Sri Pahang di mana pemain itu pernah berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, Presidennya Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei lalu.

Peterborough melepaskan pemain seperti pemain pertahanan, Connor Peters serta pemain tengah iaitu Kobe serta Ethan Bojang selepas kelab itu tersingkir ke saingan divisyen ketiga bola sepak England iaitu EFL League One musim hadapan.

“Ketiga-tiga pemain akan meninggalkan London Road pada musim panas ini. Peters merupakan anak tempatan yang menghabiskan saingan musim lalu bersama Yaxley secara pinjaman manakala Kobe dan Ethan yang beraksi bersama kelab bukan liga juga secara pinjaman bakal meninggalkan pasukan,” dipetik dari laporan Peterborough Telegraph. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast