Sistem MySST yang telah beroperasi sejak awal bulan Ogos ini akan diselenggara bermula jam 12 tengah malam sehingga 2 pagi setiap hari bagi tujuan pengemaskinian data-data di dalam sistem tersebut.
T. Subromaniam

KUALA LUMPUR – Sekiranya kerajaan bercadang untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), ia perlu dilakukan secara bersasar agar tidak membebani rakyat yang kini berdepan dengan kenaikan inflasi.

Demikian menurut bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Subromaniam Tholasy yang turut berpandangan GST perlu diasingkan.

Beliau berkata, GST yang dikenakan pada kadar enam peratus sebelum ia dimansuhkan seharusnya diasingkan masing-masing kepada cukai barang dengan kadar lima peratus dan cukai perkhidmatan pula sebanyak tujuh peratus.

“Kerajaan perlu melihat semula barangan cukai sifar, di mana ia perlu dihadkan kepada barangan asas sahaja,” katanya dalam program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan Bernama TV pada Khamis.

Beliau berkata, ini kerana sekiranya kadar cukai ditetapkan terlalu rendah sehingga empat peratus, ia hanya akan menyumbang kepada pendapatan neutral, manakala kadar lebih tinggi dapat meningkatkan pendapatan negara, pasaran saham serta kewangan negara.

“Secara langsung ini akan memberi impak kepada kekuatan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat,” katanya.

Subromaniam berkata, sebelum pelaksanaan semula GST diputuskan, kerajaan perlu mempertimbangkan faktor masa yang sesuai, kekukuhan ringgit, dasar awam yang dilaksanakan di bawah kementerian-kementerian serta pengawalan inflasi.

“Tidak dinafikan pelaksanaan GST sebelum ini, pada 2015, mempunyai beberapa kelemahan seperti pengurangan subsidi, rasionalisasi kadar tarif elektrik dan kejatuhan nilai mata wang ringgit yang menyebabkan Indeks Harga Pengguna meningkat.

“Indeks Harga Pengguna sekarang ini naik tetapi ia tidak diterjemahkan dalam bentuk hasil yang lebih tinggi kepada kerajaan kerana impak SST hanya sampai peringkat import dan perkilangan sahaja untuk barang berbanding dengan GST yang memberi impak sehingga ke peringkat peruncitan,” katanya.

Subromaniam juga mencadangkan kerajaan tidak meletakkan nilai ambang yang terlalu rendah seperti sebelum ini pada kadar RM500,000 supaya perniagaan kecil tidak terangkum dalam pelaksanaan GST ini.

“Mungkin kita boleh lihat nilai ambang yang lebih sesuai RM1 juta hingga RM2 juta supaya tidak membebani perniagaan seperti kedai runcit biasa,” katanya.

Beliau berkata, GST merupakan satu sistem percukaian yang sangat efisien, telus, adil serta mesra perniagaan dan ia mampu meningkatkan ekonomi negara selain mendorong daya saing lebih tinggi bagi eksport negara.

“Justeru, GST sudah tentu akan menstabilkan harga barangan pada jangka panjang nanti,” katanya. – Bernama