Projek membuat bongkah cendawan ini juga turut dihadiri oleh ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kuamut yang berasal dari beberapa buah kampung berhampiran di Mukim Kuamut seperti Kg. Kuamut, Kg. Tulang-tulang dan Kg. Tangkuyan.

KOTA KINABALU – Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan warga Sekolah Kebangsaan Kuamut (SK Kuamut), Kinabatangan berjaya menghasilkan 300 bongkah cendawan menerusi projek inovasi bongkah cendawan tiram.

Projek selama 20 bulan yang dimulakan sejak 1 November 2020 itu merupakan
sebuah projek inovasi yang dibiaya oleh Dana Inovasi Sekolah (DIS2020) melalui
Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS.

Menurut ketua projek, Profesor Madya Dr. Suzan @ Sarah Benedick, projek tersebut
selari dengan hasrat UMS ke arah melahirkan budaya berinovasi yang boleh memberi
manfaat kepada komuniti sekitar.

“Program itu dijangka dapat membantu komuniti Kuamut yang merupakan golongan
berpendapatan rendah untuk mempelbagaikan pendapatan sampingan selain dapat
menimbulkan minat para pelajar untuk mempelajari penghasilan bongkah cendawan
dengan mudah secara kreatif dan berinovatif.

“Walaupun perjalanan ke SK Kuamut hanya boleh dicapai menggunakan
pengangkutan air dan mengambil masa selama lebih kurang 7 jam dari Bukit Garam,
ia tidak mematahkan semangat para pensyarah UMS untuk mendekati masyarakat
Kuamut dengan berkongsi ilmu dan kemahiran tanaman cendawan,” katanya.

Tambah beliau, projek itu turut disertai oleh ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) SK Kuamut yang berasal dari perkampungan berhampiran di Mukim Kuamut
seperti Kg. Kuamut, Kg. Tulang-tulang dan Kg. Tangkuyan.

Aktiviti yang dilaksanakan pada projek itu melibatkan dua peringkat iaitu perkongsian
ilmu tentang tanaman cendawan secara dalam talian dan perkongsian kemahiran
secara bersemuka tentang inovasi membuat bongkah cendawan.

Pada peringkat pertama, para peserta telah diberi pendedahan ilmu tentang jenis-
jenis cendawan yang sesuai diusahakan oleh komuniti, campuran asas membuat
bongkah cendawan, kaedah menghasilkan bongkah cendawan dan kaedah membuat
benih cendawan.

Manakala pada peringkat kedua pula, para peserta telah mempelajari teknik
penghasilan bongkah cendawan menggunakan bahan organik yang terdapat di
sepanjang Sungai Kinabatangan.

“Pemantauan dari masa ke semasa tentang perkembangan pertumbuhan benih
cendawan pada bongkah tersebut turut dilaksanakan untuk memastikan projek ini
berjaya dilaksanakan,” ujar Suzan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast