KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak masih lagi bertegas supaya parti melaksanakan audit forensik bagi menjelaskan dakwaan puluhan ribu undi hilang dalam pemilihan baru-baru ini.
Walaupun semalam, Pengerusi Jawantankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa menyangkal dakwaan Farhash bahawa lebih 26,000 undi tidak diambilkira dalam pemilihan parti namun Farhash berpendirian penjelasan itu tidak memuaskan hati pelbagai pihak.
“Hanya audit forensik dapat menyokong penjelasan JPP ini. Ini soal ketelusan yang begitu membimbangkan. Undi disimpan beberapa hari sebelum dikira kemudian diumum, tidak ada saksi wakil calon atau pihak ketiga hadir dalam pengiraan undi. Ini sahaja mampu menimbulkan pelbagai dakwaan serta spekulasi.
“PKR perlu mansuhkan amalan sebegini sebenarnya. PKR adalah parti yang tuntut pemilihan adil dan telus di pentas politik nasional jadi bukankah kita patut juga amalkan dalam pemilihan kita sendiri?
“Kerana itu saya minta supaya satu audit forensik ini dijalankan secepat mungkin. Hanya ini sahaja dapat buktikan apa yang didakwa oleh jawatankuasa itu,” katanya kepada media hari ini.
Zaliha semalam mendedahkan daripada 147,000 ahli yang mengundi tidak semua mengundi kepimpinan pusat sebaliknya hanya mengundi peringkat cabang sahaja.
Farhash yang baru-baru ini kalah dalam pemilihan Ketua Cabang Gombak apabila pencabarnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tampil mempertikaikan jumlah 119,030 undi yang diperolehi Rafizi Ramli dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail dua calon jawatan Timbalan Presiden.
Sebelum itu, Ahad lepas, Farhash menggesa audit forensik selepas keputusan tidak rasmi pemilihan menunjukkan beliau tewas dalam persaingan Ketua Cabang Gombak itu, bekas Setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan memperoleh 1,215 undi berbanding Amirudin yang mendapat 1,858 undi.
Menurut Farhash, jawapan Zaliha selaku Pengerusi JPP adalah amat dangkal dan remeh.
“Tolong janganlah ambil mudah, ini bukan satu isu kecil. Ramai yang telah membuat aduan dan bantahan bukan untuk jawatan tertentu sahaja tetapi hampir semuanya tetapi kamu beri jawapan superti ini? Pelik sungguh.
“Apakah anda sedang beritahu saya ahli PKR hanya undi untuk jawatan tertentu sahaja? Ramai hendak penjelasan,” tegasnya. -MalaysiaGazette