BENTONG – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhasrat memajukan penempatan masyarakat Orang Asli secara holistik dengan membangunkan medan ilmu di Janda Baik.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zulkiple Ali berkata, perancangan secara teperinci telah mula dilakukan dengan berkolaborasi dengan bebarapa agensi bagi mencapai misi pembangunan masyarakat tersebut.
Jelasnya pembangunan penempatan Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Chemperoh dimulakan dengan mewujudkan minat akademik dalam kalangan kanak-kanak selain ilmu agama.
Projek yang dijalankan secara beterusan bermula Jun sehingga Disember ini juga dilakukan mendekati semua lapisan masyrakat melalui aktiviti kemasyarakatan selain daripada aspek pendidikan.
“Kolaborasi mengambil kira aspek kepakaran dan kelebihan setiap agensi dalam memeainkan peranan bagi menjayakan misi ini. Antara yang terlibat dalam perlaksanaan program ini ialah Pertubuhan Dapur Infak Ummah, Yayasan Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Pembangunan dilaksanankan berdasarkan aspek keperluan di sini misalnya mewujudkan tadika dengan silibus yang terancang, sekolah dan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat lokasi cadangan tapak pembinaan masjid, sekolah dan tadika di Janda Baik hari ini.
Projek yang menelan belanja hampir RM200,000 ini dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Pahang dan diuruskan oleh sukarelawan Dapur Infaq Ummah.
Sebagai permulaan pihaknya melaksanakan Program Jalinan Kasih Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Chemperoh pada 3 hingga 5 Jun.
Masyarakat Orang Asli di KOA Sungai Chemperoh didiami 83 keluarga ini terdiri dari suku kaum Temuan.
Manakala terdapat 13 buah perkampuangan orang asli di kawasan Bentong. – MalaysiaGazette