Sidang media Tun Dr Mahathir Mohamad selepas merasmikan Permukiman Pejuang Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh hari ini.

MELAKA – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan jalinan kerjasama dengan lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seluruh negara bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia termasuklah mendekati golongan pesara profesional seperti bekas guru dan tentera yang dilihat mampu menjadi ‘senjata’ lebih tajam parti itu berbanding kerjasama dengan parti politik.

Menurutnya ketika ini, Pejuang sudah bertemu dengan ramai pihak yang menyatakan sokongan namun mereka bukan terdiri daripada golongan politik yang mewakili mana-mana parti.

Ditanya, adakah bermaksud Pejuang akan bekerjasama dengan NGO profesional, Dr. Mahathir mengesahkannya dan ia termasuklah golongan pesara kerajaan terdiri daripada bekas guru dan tentera.

“Banyak kumpulan (kerjasama) Marzuki (Datuk Marzuki Yahya) pun cakap, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) pun cakap. Ada juga (pesara guru dan tentera). Ada yang mewakili 100 NGO Melayu.

“NGO sekarang ini banyak, masing-masing kata ada penyokong, tapi nak kata mereka tak ada penyokong pun tak kena. Kita tahu mereka bercakap berkenaan masalah orang Melayu dan berminat nak selamatkan masa depan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Permukiman Pejuang Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh hari ini. Hadir sama Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan timbalannya Datuk Marzuki Yahya.

Ditanya adakah Pejuang boleh berkongsi khemah yang sama di bawah perjuangan parti itu, bekas perdana menteri itu berkata, mereka tiada masalah selagi parti itu berpegang pada perjuangannya.

“Kita tak bergerak solo (sendirian) tapi tak boleh nak kerjasama dengan (parti) penyangak, pencuri, semua walaupun mereka kuat, mereka kata mereka boleh menang (PRU).

“Kami solo waktu ni tapi taklah solo sangat. Kami bercakap dengan banyak orang tapi bukan orang politik, bukan orang parti…kerana mereka juga berhak mengundi.

“Sebenarnya, UMNO pun kalau bergantung kepada ahli sahaja, UMNO tak boleh menang, UMNO menang kerana orang ramai sokong, kita pun macam itu juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast