Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyindir Isham Jalil berkenaan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Beliau menggesa Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu membaca terlebih dahulu kandungan MoU tersebut sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Katanya, agak menggelikan hati apabila Isham tidak mengetahui mengenai isi kandungannya namun, cuba membuat ulasan berhubung perkara itu.

“Google sajalah. Bagaimana dia mampu menjelaskan dengan tepat kandungan MOU ini kepada anggota-anggota BN Selangor jika dia sendiri tidak mengetahui dan memahami kandungannya?

“Ketam tidak mungkin boleh mengajar anak-anaknya berjalan dengan betul, apalagi jika ketam di bawah tempurung,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tun Faisal berkata, Isham sepatutnya tidak membuat kenyataan secara terburu-buru mengenai perkara itu dengan menjadikan bosnya, Tan Sri Annuar Musa sebagai bahan serangan beliau.

“Suka saya ingatkan Isham bahawa Tan Sri Annuar Musa merupakan salah seorang Ahli Parlimen dan pemimpin BN yang terlibat bersama sejumlah pemimpin lain merangka draf dan memuktamadkan kandungan MOU ini sedangkan Isham langsung tidak mengetahui apa yang sedang berlaku ketika itu.

“Annuar juga adalah salah seorang yang menandatangani MOU tersebut mewakili Ahli Parlimen BN, bukan Isham.

“Saya tak fikir Isham tahu MOU itu adalah antara kerajaan dengan pembangkang dan bukan antara UMNO dengan parti-parti lain,” ujarnya.

Tambah beliau, di dalam MOU yang dimuktamadkan itu, ada dinyatakan dengan jelas menerusi Perkara 2.1, iaitu MoU berkenaan hendaklah berkuat kuasa daripada tarikh Perjanjian ditandatangani dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14.

Disebabkan katanya, penjelasan Annuar adalah tepat apabila beliau membetulkan salah faham mengenai kononnya MoU itu dikatakan akan berakhir pada 31 Julai 2022.

“Apakah yang dipersetujui untuk berakhir pada 31 Julai 2022?

“Jika Isham rajin sedikit untuk mencari maklumat, dia akan tahu bahawa disebut pada Perkara 3.1, kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 haribulan Julai 2022.

“Sekali lagi Annuar Musa betul apabila menjelaskan perkara ini di dalam sidang medianya di Kota Kinabalu,” tambahnya.

Menurut Tun Faisal lagi, setiap pemimpin parti, kerajaan atau pembangkang yang menandatangani MoU tersebut sudah tentu mengetahui apa yang disebut oleh Annuar sebagai suatu yang tepat.

Justeru katanya, tidak timbul isu BN ikut cakap DAP atau PAS ikut cakap BN kerana mereka tahu apa yang ditandatangani.

Semalam media melaporkan Isham dilapor mempersoalkan mengapa Annuar kelihatan seolah-olah mengulangi DAP dalam komennya mengenai persefahaman politik antara kerajaan Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, Majlis Kerja Tertinggi UMNO sudah memutuskan untuk tidak menyokong pelanjutan perjanjian politik dalam bentuk MoU selepas 31 Julai, dengan perdana menteri sebelum ini menyatakan kerajaan akan turut mengambil keputusan sama. – MalaysiaGazette