Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. endemic phase Parliament federal awards
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KESETIAAN kepada Raja dan Negara adalah Rukun Negara kedua. Rakyat Malaysia yang melalui sistem pendidikan dalam negara pasti melafazkan ikrar ini pada setiap kali perhimpunan sejak dari prasekolah hingga ke peringkat menengah. Lafaz ikrar tersebut tersemat dalam ingatan setiap warganegara. Namun begitu, masih ramai yang tidak menghayati makna sebenar disebalik lafaz tersebut.

Umumnya semua tahu slogan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” sebagai suatu ungkapan melambangkan begitu rapatnya hubungan istana dan rakyat. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menjalankan fungsi sebagai payung yang menaungi rakyat Malaysia dan semua sistem di bawah pentadbiran negara.

Tanggal 6 Jun 2022, rakyat Malaysia meraikan hari keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai tanda menghormati kebawah duli Tuanku dan menjunjung kasih fungsi tuanku dalam komponen Raja Berperlembagaan sebagai sistem pentadbiran negara.

Rakyat menumpahkan taat setia kepada Raja dan tidak sesekali menderhaka kepada arahan tuanku. Perlembagaan Persekutuan sebagai punca kuasa perundangan negara meletakkan tempat yang tinggi kepada Yang di-Pertuan Agong. Jawatan Yang di-Pertuan Agong diperkenalkan oleh Almarhum Tuanku Abdul Rahman setelah negara merdeka.

Gelaran Yang di-Pertuan Agong itu sendiri diambil bersempena gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Yang di-Pertuan Agong pertama. Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara mengikut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Sudah tentu, sebagai ketua negara yang utama baginda menjadi lambang kedaulatan, ketaatan, perpaduan, kebesaran dan kemuliaan negara.

Negara mengamalkan gabungan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dalam pentadbiran negara. Sistem Raja Berperlembagaan menjadi sangat signifikan setiap kali menjelang pilihan raya atau berlaku konflik kepimpinan kerajaan kerana kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan pembubaran parlimen, melantik Perdana Menteri dan lain-lain kuasa melantik yang memerlukan kebijaksanaan tuanku.

Sebagai rakyat Malaysia menjadi tanggungjawab kita untuk memartabatkan Institusi Beraja kerana ia adalah lambang kedaulatan negara. Tanpa kedaulatan, sesebuah negara tidak akan wujud kerana kedaulatan adalah salah satu dari empat komponen yang membentuk negara selain daripada rakyat, kerajaan dan wilayah.

Rakyat Malaysia pelbagai kaum mesti menghormati dan mempertahankan kedudukan Institusi Beraja negara ini kerana prinsip kesultanan sudah berakar umbi di nusantara sejak bertahun lamanya. Institusi Beraja Malaysia sangat unik dan tidak boleh disamakan dengan mana-mana negara lain di dunia.

Keluarga Malaysia harus memupuk setiap ahli keluarganya, terutama generasi baharu dalam memahami fungsi yang dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan semua Raja/Sultan Melayu di setiap negeri. Institusi Beraja merupakan payung yang menjadi
naungan rakyat melengkapi agama, bangsa, bahasa, budaya, fahaman politik dan lain-lain lagi.

Raja diibaratkan sebagai akar dan rakyat adalah pohonnya. Kesetiaan kepada raja dan negara merupakan prinsip rukun negara yang bukan sahaja menjadi lafaz ikrar tetapi perlu dihayati dengan sepenuh hati.

Selamat menyambut Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Menjunjung kasih Tuanku.

Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad,

Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad
Timbalan Pendaftar Kanan
Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM
merangkap Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast