Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Gara-gara tidak berpuas hati dan berang dengan lawak rakan sekerja, seorang lelaki menyimbah air memukul bahagian belakang kepala seorang wanita.

Bagaimanapun perbuatan lelaki tersebut menerima padah apabila dia yang bekerja sebagai pelukis logo didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap rakan kerjanya pada tahun lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Emmanuelson Anak Tijon, 26, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa iaitu seorang wanita berusia 37 tahun di kantin tempat kerja iaitu sebuah resort golf di Pasir Gudang di sini, kira-kira pukul 9 pagi pada 26 November 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dan memberitahu bahawa tertuduh masih bujang dan menanggung ibu bapa serta adik dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya R Nevina memohon hukuman setimpal dan mengambil kira kecederaan dialami mangsa.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak menyimbah air kepada mangsa sebelum memukul bahagian belakang kepala mangsa kerana tidak berpuas hati dengan lawak jenaka dibuat mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast