SUNGAI PETANI – Seorang lelaki kurang upaya maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di lorong kecemasan, di Kilometer 85.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini hari ini.
Mangsa Muhammad Faizol Azahar, 23, merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan penglihatan iaitu hanya dapat melihat menggunakan mata sebelah kiri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata dalam nahas pukul 11 pagi tadi itu mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati MPV jenis Honda Stream yang dinaiki tiga lelaki itu, berhenti di lorong kecemasan kerana kerosakan pada radiator.
Zaidy berkata pemandu MPV itu dan dua lagi penumpang yang berada di dalam kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan.
“Mayat OKU terbabit telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat dan ujian COVID-19…kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.